Skip to main content

Singapura

Polis siasat dakwaan pelajar Sekolah Menengah Admiralty diserang hingga cedera kepala

Polis menjalankan siasatan selepas seorang pelajar Sekolah Menengah Admiralty mendakwa diserang oleh rakan sekelasnya, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kepala.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat dakwaan pelajar Sekolah Menengah Admiralty diserang hingga cedera kepala

(Gambar: Facebook/Complaint Singapore/Jeremy Goh, Google Maps)

Diterbitkan : 08 Jan 2025 07:32PM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 07:33PM
SINGAPURA: Polis menjalankan siasatan selepas seorang pelajar Sekolah Menengah Admiralty mendakwa diserang oleh rakan sekelasnya, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kepala.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pada Rabu (8 Jan) bahawa ia telah menerima panggilan bantuan dari 31 Woodlands Crescent pada kira-kira pukul 2.00 petang pada Selasa (7 Jan).

Ia merupakan alamat bagi Sekolah Menengah Admiralty.

"Seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun diperiksa bagi sebarang kecederaan oleh Pasukan Pertahanan Awam (SCDF)," menurut SPF.

"Seorang lagi pelajar lelaki berusia 12 tahun sedang membantu dalam siasatan berhubung perbuatan menyebabkan kecederaan dengan sengaja."

Mediacorp sudah pun menghubungi Sekolah Menengah Admiralty untuk mendapatkan komen.

ANAK SAUDARA 'DISERANG DENGAN KEJAM'

Satu catatan Facebook mengenai kejadian itu dimuat naik pada Selasa malam (7 Jan) oleh seorang individu yang mendakwa dirinya adalah pakcik kepada mangsa.

"Saya amat terjejas dan sedih oleh kejadian yang berlaku terhadap anak saudara saya, seorang pelajar baharu di Sekolah Menengah Admiralty," menurut catatan itu.

Ia memberi gambaran bagaimana mangsa "diserang dengan kejam" oleh rakan sekelasnya dan mengalami luka dalam di bahagian belakang kepala yang perlukan jahitan.

Menurut penulis catatan itu, rakan sekelas pelajar itu memukul kepalanya berkali-kali menggunakan botol air besi.

"Sedang saya menulis catatan itu, luka pada kepalanya masih berdarah, sekali gus menambah pada kebimbangan dan keprihatinan kami terhadap kesejahteraannya," menurut catatan itu.

Gambar luka dan mangsa yang sedang duduk di kerusi roda dengan kepalanya dibalut turut disertakan dalam catatan itu.

"Kami telah membuat aduan polis dan mendesak agar kes ini tidak diselindung," menurut catatan berkenaan.

"Ini bukan sekadar mengenai seorang kanak-kanak - ia tentang memastikan keselamatan dan kebertanggungjawaban sekolah yang sepatutnya melindungi dan memupuk para pelajarnya."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita