Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat dakwaan AP WP Raeesah Khan pegawai polis buat komen kurang sensitif kepada mangsa rogol: Shanmugam

Polis akan menemubual Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan untuk mendapatkan lebih maklumat berhubung dakwaan beliau bahawa pihak polis tidak menangani satu kes rogol dengan baik.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Oct 2021 05:53PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 09:21PM

SINGAPURA: Polis akan menemubual Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan untuk mendapatkan lebih maklumat berhubung dakwaan beliau bahawa pihak polis tidak menangani satu kes rogol dengan baik.

Pada Ogos lalu, Cik Raeesah berkata di Parlimen beberapa pegawai polis membuat komen tidak sesuai kepada seorang mangsa rogol yang menurutnya menangis selepas membuat aduan tiga tahun lalu.

Semasa satu perbahasan di Parlimen pada Isnin (4 Okt), Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam berkata dakwaan Cik Raeesah itu adalah serius dan siasatan akan dijalankan untuk mengetahui apa yang berlaku, namun polis perlukan lebih banyak maklumat untuk berbuat demikian.

Pada 3 Ogos, AP WP He Ting Ru dan Leon Perera mengetengahkan usul tentang pemerkasaan kaum wanita, dan beberapa anggota WP termasuk Cik Raeesah, memberi cadangan dalam ucapan masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada cadangannya bahawa pegawai polis perlu dibekalkan dengan latihan keganasan seksual bagi menangani dengan lebih baik kes serangan seksual, Cik Raeesah berkongsi bagaimana seorang mangsa rogol yang beliau temani untuk membuat aduan polis, keluar dari balai polis sambil menangis kerana pegawai di sana membuat komen tentang cara beliau berpakaian dan hakikat bahawa beliau minum minuman keras.

Semasa perbahasan itu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan bertanya kepada Cik Raeesah, yang juga AP GRC Sengkang, bagi butiran kes itu. Menurut Encik Tan Pemerintah memandang serius sebarang dakwaan bahawa pihak polis tidak menangani kes dengan baik dan akan menyiasat perkara itu.

Cik Raeesah menjawab bahawa kejadian itu berlaku tiga tahun lalu dan beliau tidak mahu mangsa itu mengalami trauma sekali lagi.

Pada Isnin (4 Okt), Encik Shanmugam sekali lagi bertanya kepada Cik Raeesah tentang butiran kejadian itu yang berlaku tiga tahun lalu, namun AP WP itu enggan memberi lebih banyak perincian atas isu kerahsiaan.

Encik Shanmugam berkata siasatan terhadap kes itu dan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai polis terlibat, jika perlu, tidak bermakna identiti mangsa akan didedahkan.

Encik Shanmugam bertanya Cik Raeesah jika beliau sekurang-kurangnya boleh memberikan nama balai polis, bulan apa di mana kejadian itu berlaku dan jika boleh, nama pegawai polis yang mengendalikan kes tersebut. Jika tidak, gambaran kasar tentang jantina dan kumpulan kaum pegawai itu sudah memadai.

"Pemerintah amat serius dalam memastikan bahawa pihak polis melakukan perkara yang betul. Jadi jika mereka tidak melakukan tugas dengan baik, kami mesti mengambil tindakan disiplin terhadap mereka. Ini bermakna menyiasat apa yang berlaku, mengenal pasti pegawai yang terbabit, ini cara kita mengekalkan pasukan home team yang hebat," katanya.

Sebagai respons, Cik Raeesah berkata beliau lebih memilih untuk mengekalkan kerahsiaan mangsa dan tidak ingin mendedahkan sebarang maklumat yang diminta oleh Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam kemudian berkata bahawa dengan mendedahkan nama balai polis itu ia tidak ada kaitan dengan identiti mangsa dan beliau kemudian bertanya jika Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin mempunyai kuasa untuk mendapatkan jawapan langsung daripadanya.

Cik Raeesah menolak permohonan Encik Tan untuk mendapatkan perincian sekali lagi, dengan memberi alasan kerahsiaan.

Encik Shanmugam kemudian berkata bahawa beliau tidak faham apa yang dimaksudkan tentang kerahsiaan dan memintanya mengesahkan sekali lagi jika kenyataan yang beliau berikan sebelum ini adalah tepat, yang mana AP WP itu mengesahkan bahawa kejadian itu memang berlaku.

Menjawab, Encik Shanmugam berkata polis sudah memeriksa rekod mereka dan tidak ada kes yang didapati bertepatan dengan keterangan diberikan oleh Cik Raeesah.

"Kerahsiaan tidak bermakna tidak mendedahkan nama balai polis itu kepada kami. Dan saya akan membiarkan perkara ini, buat masa ini. Namun ini tidak bermakna hal ini sudah selesai," kata Encik Shanmugam.

"Sekurang-kurangnya beliau mesti ingat balai polis yang mana, tahun berapa ia berlaku dan bulan mana dan berikan butiran nombor dan usia serta kaum pegawai polis itu."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan