Skip to main content

Singapura

Polis siasat AP Louis Ng atas dakwaan anjur perhimpunan awam tanpa permit

Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (3 Mac) menyatakan pihaknya sedang menyiasat dakwaan menganjurkan satu perhimpunan awam tanpa permit oleh Anggota Parlimen Louis Ng (PAP-Nee Soon).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat AP Louis Ng atas dakwaan anjur perhimpunan awam tanpa permit

(Gambar: Facebook/Louis Ng Kwok Kwang)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 05:27PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 05:29PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (3 Mac) menyatakan pihaknya sedang menyiasat dakwaan menganjurkan satu perhimpunan awam tanpa permit oleh Anggota Parlimen Louis Ng (PAP-Nee Soon).

Menurut polis, pihaknya sudah menyoal siasat Encik Ng dan siasatan sedang diteruskan.

Encik Ng memuat naik catatan ke laman Facebooknya pada Jun tahun lalu mengenai kunjungannya ke Pusat Penjaja Yishun Park .

Catatan itu turut memaparkan empat gambar, dengan Encik Ng dilihat memegang sekeping kertas dengan tulisan "Support Them" (Sokong Mereka) dan wajah tersenyum pada bahagian depan beberapa gerai penjaja.

Pada Rabu, Encik Ng mendedahkan di laman Facebooknya bahawa beliau telah diminta oleh pihak polis untuk memberikan keterangan mengenai perkara itu dan beliau sudah berbuat demikian.

Menurut Encik Ng, beliau ketika itu sedang melakukan lawatan biasa ke Pusat Penjaja Yishun Park tahun lalu dan mahu menggesa orang ramai supaya menyokong para penjaja.

"Ia adalah satu kunjungan yang sangat penting kerana kita baru sahaja keluar dari tempoh pemutus rantaian jangkitan. Saya ke sana untuk memastikan para penjaja kita baik-baik saja. Seperti yang diketahui ramai, mereka terjejas teruk semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan,” kata Encik Ng.

"Saya juga ingin menggesa para penduduk supaya menyokong para penjaja kita dan memegang kertas itu yang menunjukkan sokongan saya dan saya juga bergambar dengan para penjaja," katanya.

Encik Ng menambah bahawa secara berasingan, beliau juga berbuat perkara yang sama pada Januari bagi sebuah video yang memperkenalkan usul pertama di parlimen mengenai perubahan iklim.

"Sebagai penjelasan, tanda itu adalah sekeping kadbod kosong. Kata-kata itu ditambah ke dalam video yang saya muat naik,” kata Encik Ng.

Menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tanpa permit polis adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Singapura.

Di bawah Akta Ketenteraman Awam, perhimpunan merujuk kepada pertemuan atau mesyuarat atas tujuan berikut: Untuk menunjukkan sokongan atau bantahan terhadap pandangan atau tindakan mana-mana individu, kumpulan atau pemerintah; untuk memaklumkan sesuatu acara atau kempen; meraikan atau memperingati sesuatu peristiwa. Akta ini tetap boleh dikuatkuasakan terhadap sebarang bantahan walaupun melibatkan hanya seorang individu saja.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita