Polis siasat 334 orang dalam kes tipu lebih S$9 juta
Seramai 334 individu sedang membantu polis dalam siasatan kerana disyaki terlibat dalam penipuan yang menyebabkan mangsa kehilangan lebih daripada S$9.23 juta.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Seramai 334 individu sedang membantu polis dalam siasatan kerana disyaki terlibat dalam penipuan yang menyebabkan mangsa kehilangan lebih daripada S$9.23 juta.
Suspek-suspek itu, yang terdiri daripada 225 lelaki dan 109 wanita, disyaki terlibat 872 kes penipuan sebagai penipu atau keldai wang haram, menurut polis pada Sabtu (3 Jul).
Penipuan tersebut terdiri daripada penipuan seperti penyamaran emel perniagaan, sokongan IT, cinta Internet, e-dagang, menyamar sebagai pegawai pemerintah, menyamar sebagai pegawai China, pelaburan, pekerjaan, platform perjudian palsu dan pinjaman wang.
Para suspek yang berusia antara 14 dengan 72 tahun sedang disiasat atas kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat pembayaran tanpa lesen, menurut polis.
Siasatan tersebut dijalankan menyusuli operasi penguatkuasaan merata Singapura selama dua minggu oleh para pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil dan tujuh divisyen darat polis yang bermula pada 19 Jun.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan menipu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda, sementara mereka yang disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga S$500,000, atau kedua-duanya.
Sekiranya didapati bersalah menjalankan perniagaan menyediakan apa-apa jenis khidmat pembayaran di Singapura tanpa lesen, suspek boleh didenda hingga S$125,000, dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Polis menyatakan bahawa mereka mengambil "pendirian serius" terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam penipuan, dan pelaku akan dihukum mengikut undang-undang.
"Untuk mengelakkan diri daripada bersubahat dengan jenayah, orang ramai harus sentiasa menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian mudah alih mereka kerana mereka akan dipertanggungjawabkan jika ia berkaitan dengan jenayah," tegas polis.
Orang ramai boleh menghubungi talian hotline anti-penipuan di 1800-722-6688 atau melayari www.scamalert.sg untuk mendapatkan nasihat berkaitan penipuan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang skim penipuan sedemikian boleh menghubungi talian hotline Polis di 1800-255-0000 atau serahkan maklumat secara online. Kesemua maklumat akan dirahsiakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.