Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat 3 lelaki dipercayai tunjuk perasaan di luar kedutaan Myanmar di S'pura

Tiga lelaki sedang disiasat kerana dipercayai menyertai perhimpunan awam tanpa permit di luar Kedutaan Myanmar di Singapura, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (14 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat 3 lelaki dipercayai tunjuk perasaan di luar kedutaan Myanmar di S'pura

Kedutaan Myanmar di S'pura (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 14 Feb 2021 08:10PM Dikemas Kini : 14 Feb 2021 08:11PM

SINGAPURA: Tiga lelaki sedang disiasat kerana dipercayai menyertai perhimpunan awam tanpa permit di luar Kedutaan Myanmar di Singapura, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (14 Feb).

Tiga lelaki itu termasuk dua warga Jepun berusia 48 dan 61 tahun, serta seorang warga Indonesia berusia 49 tahun.

Pihak polis dimaklumkan pada sekitar 3.45 petang pada Rabu mengenai tiga lelaki yang dipercayai melakukan tunjuk perasaan di luar kedutaan tersebut untuk "menunjukkan sokongan mereka bagi rakyat Myanmar".

Dua papan tanda, tiga telefon bimbit dan sepucuk surat dirampas, dan siasatan polis sedang dijalankan.

"Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tanpa permit di Singapura adalah salah di segi undang-undang dan adalah satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam," menurut SPF pada Ahad.

"Pihak polis tidak akan meluluskan sebarang permit bagi perhimpunan yang menyokong tujuan politik bagi negara-negara lain. Warga asing yang melawat atau tinggal di Singapura patut mematuhi undang-undang kami."

Polis mengeluarkan amaran pada 5 Februari terhadap rancangan mengadakan tunjuk perasaan di Singapura berhubung situasi politik semasa di Myanmar.

"Polis maklum tentang catatan-catatan online oleh warga Myanmar yang bekerja atau tinggal di Singapura dan merancang tunjuk perasaan di Singapura berhubung perkembangan di Myanmar baru-baru ini," kata SPF, sambil menambah bahawa catatan-catatan tersebut menggalak orang ramai menyertai bantahan.

"Warga asing yang melawat, bekerja atau tinggal di Singapura juga diingatkan agar mematuhi undang-undang kami. Mereka tidak seharusnya mengimport politik negara-negara mereka sendiri ke Singapura."

Mereka yang melanggar undang-undang "akan ditangani dengan tegas" dan visa atau pas kerja mereka boleh ditarik balik, kata polis dalam amaran itu.

Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari dan telah menahan beberapa tokoh politik, termasuk bekas pemimpin Cik Aung San Suu Kyi, atas dakwaan penipuan pilihan raya.

Panglima tentera Min Aung Hlaing mengambil alih kuasa, dan keadaan darurat selama setahun diisytiharkan. Ramai orang di Myanmar membantah rampasan kuasa itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan