Skip to main content

Singapura

Polis SG sekat akses kandungan online berkaitan pengganasan

Anggaran Waktu Membaca:
Polis SG sekat akses kandungan online berkaitan pengganasan

Gambar fail menunjukkan seseorang menggunakan telefon bimbit dan komputer riba. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 27 Jul 2026 06:45PM
SINGAPURA: Polis Singapura mengeluarkan arahan kepada beberapa penyedia khidmat internet dan sebuah penyedia khidmat online supaya menyekat akses kepada kandungan berkaitan pengganasan di bawah Akta Kemudaratan Jenayah Online (OCHA).

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), kandungan berkenaan termasuk bahan yang menyokong ISIS dan pelaku serangan besar-besaran, memuliakan golongan pelampau serta menggalakkan orang ramai menyertai perjuangan kumpulan ekstremis.

Siasatan mendapati kandungan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan beberapa kes radikalisasi sendiri di Singapura.

Dalam beberapa kes, golongan belia menjadi radikal selepas mengakses bahan berkenaan atau menggunakannya sebagai rujukan untuk merancang serangan.

MHA menyifatkan peningkatan kes radikalisasi sendiri, khususnya dalam kalangan belia, sebagai sesuatu yang membimbangkan dan menegaskan platform online tidak boleh dijadikan saluran penyebaran ideologi pengganasan.

Pada Isnin (27 Jul), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mendedahkan bahawa tiga belia berusia 14, 15 dan 19 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas didapati menjadi radikal sendiri dan membuat persiapan untuk melancarkan serangan di Singapura.

MHA turut bekerjasama dengan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Pendidikan (MOE) bagi melindungi rakyat Singapura, khususnya kanak-kanak, daripada kandungan berbahaya online.

Dalam kenyataan berasingan, MOE menyatakan sekolah dan institut pengajian tinggi akan terus memperkukuh usaha mencegah radikalisasi sendiri dalam kalangan belia.

Para pelajar didedahkan kepada kesan negatif fahaman ekstremis menerusi mata pelajaran Pengajian Sosial, Sejarah, Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan, selain pendidikan kesejahteraan siber yang membantu mereka mengenal pasti pengaruh negatif serta laman web yang tidak sesuai.

MOE turut menyatakan semua peranti pembelajaran peribadi pelajar sekolah menengah dilengkapi aplikasi penapisan kandungan, manakala rangkaian tanpa wayar sekolah menggunakan sistem penapisan laman web yang disemak secara berkala.

Kementerian itu juga bekerjasama dengan sekolah dan institut pengajian tinggi menganjurkan bengkel, perbincangan berasaskan senario, latihan serta simulasi kecemasan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman dari dalam dan luar sekolah.

Orang ramai yang menemui kandungan yang memuliakan atau menggalakkan pengganasan boleh melaporkannya menerusi fungsi laporan pada platform berkenaan atau kepada ISD.

Mereka juga digesa segera memaklumkan pihak berkuasa jika mengesyaki seseorang telah menjadi radikal.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita