Skip to main content

Singapura

Polis SG minta sampel DNA keluarga 9 warga yang masih hilang dalam bencana Nepal-Tibet

Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang mendapatkan sampel DNA daripada para anggota keluarga warga Singapura yang masih hilang susulan bencana banjir di sempadan Nepal-Tibet minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis SG minta sampel DNA keluarga 9 warga yang masih hilang dalam bencana Nepal-Tibet

Anggota tentera Nepal membawa mayat seorang mangsa banjir kilat di sebuah kem tentera di daerah Nuwakot, Nepal, pada 2 Sep 2026. (Gambar: AP/Rajesh Kumar Singh)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 08:29PM
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang mendapatkan sampel DNA daripada para anggota keluarga warga Singapura yang masih hilang susulan bencana banjir di sempadan Nepal-Tibet minggu lalu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu (2 Sep), SPF menyatakan sampel tersebut boleh membantu dalam proses mengenal pasti mangsa.

"Sampel ini boleh membantu dalam mengenal pasti mangsa dan merupakan sebahagian usaha Singapura untuk menyokong pihak berkuasa Nepal dalam operasi bantuan bencana dan mengenal pasti mangsa yang sedang dijalankan," menurut SPF.

Polis menambah proses tersebut masih dijalankan dan melibatkan keluarga mereka yang terjejas, namun tidak dapat memberikan butiran lanjut.

9 WARGA SINGAPURA MASIH HILANG

Angka korban akibat banjir glasier di Himalaya melepasi 1,000 orang pada Selasa (1 Sep).

Penguasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional Nepal menyatakan 987 mayat sudah ditemukan dan 3,916 orang masih hilang setakat pagi Selasa, manakala 11,814 orang berjaya diselamatkan.

Sembilan warga Singapura adalah antara mereka yang masih hilang.

Pihak berkuasa Nepal mengenal pasti mereka sebagai Shubakshi Rawla, Sumit Rawla, Estee Loeh, Ghosh Aditi, Ng Kit Kuen, Rajesvaran Ayyavoo, Rengarajan Prabu, Shalinny Deavy Elan Sozan dan Subramaniam Diraviam.

Pada Isnin (31 Ogos), polis menyatakan ia akan mengerahkan satu pasukan ke Nepal, termasuk pegawai yang mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti mangsa bencana.

Pasukan tindak balas krisis Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pula berada di Nepal sejak 27 Ogos bagi memberikan bantuan konsular kepada warga Singapura yang terjejas akibat bencana itu.

MFA juga berhubungan dengan keluarga warga Singapura yang terjejas.

Anak perempuan keluarga Rawla memberitahu CNA minggu lalu bahawa mereka belum menerima sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa di Nepal mengenai operasi menyelamat dan merayu supaya lebih banyak maklumat diberikan mengenai ibu bapa mereka yang masih hilang.

OPERASI MENCARI, MENYELAMAT MASIH DITERUSKAN

Seminggu selepas bencana itu, operasi mencari dan menyelamat serta mendapatkan semula mangsa masih diteruskan sedang pasukan penyelamat mencari mereka yang terselamat di kawasan yang sebahagian besarnya sukar dimasuki.

Pasukan penyelamat bagaimanapun belum berputus asa untuk menemui lebih ramai mangsa yang terselamat.

Lebih 600 pekerja projek hidroelektrik dikhuatiri terperangkap di dalam terowong di utara bandar Bidur, Nepal.

Para pegawai juga percaya ratusan pekerja terperangkap di 11 projek hidroelektrik di daerah Rasuwa dan Nuwakot yang terjejas teruk akibat bencana itu.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita