Skip to main content

Singapura

Polis SG latih guru, pekerja sosial kesan tanda awal pelibatan kumpulan samseng

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2026 04:59PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 07:52PM
  • Polis Singapura akan melatih guru dan pekerja sosial untuk mengesan tanda awal pelibatan belia dalam kumpulan samseng sebagai langkah pencegahan.
  • Program baharu di Rumah Budak-Budak Lelaki Singapura menyediakan sokongan kepada belia yang ingin meninggalkan kumpulan samseng, termasuk bimbingan bekas ahli kumpulan.
  • Inisiatif seperti Youth COP dan Program Youth GO! akan diperluas, dengan kerjasama pelbagai agensi untuk membimbing belia membuat pilihan positif dan membina daya tahan.
  • Kerajaan juga menekankan pentingnya memutuskan kitaran jenayah rentas generasi dengan memperkukuh sokongan kepada keluarga pesalah melalui penyelarasan agensi dan bantuan menyeluruh.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Polis akan melatih guru dan pekerja sosial untuk mengenal pasti tanda-tanda awal pelibatan dalam kumpulan samseng, sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk mencegah kesalahan dalam kalangan belia.

Satu inisiatif baharu di Rumah Budak-Budak Lelaki Singapura (Singapore Boys' Home) juga akan membantu golongan muda yang mahu meninggalkan kumpulan samseng.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong mengumumkan langkah-langkah itu pada Rabu (12 Ogos) di Sidang Puncak Rangkaian Tindakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah (CARE) 2026.

Beliau berkata latihan polis itu akan membolehkan "campur tangan lebih rapat dan lebih awal".

Di bawah Program Meninggalkan Kumpulan Samseng (Gang Renunciation Programme) yang baharu di Rumah Budak-Budak Lelaki Singapura, golongan muda yang ingin meninggalkan kumpulan samseng mereka akan menerima sokongan untuk memutuskan hubungan dan membina semula kehidupan mereka.

Mereka yang pernah terlibat dengan kumpulan samseng juga akan menerima sokongan bimbingan daripada bekas anggota kumpulan samseng.

"Walaupun situasi kumpulan samseng dalam kalangan belia masih terkawal, campur tangan awal kekal sebagai langkah yang sangat penting, kerana pelibatan dalam kumpulan samseng dikaitkan dengan peningkatan kegiatan jenayah," kata Encik Tong.

PENGARUH POSITIF RAKAN SEBAYA

Rondaan Mendekati Masyarakat Belia (Youth COP), yang kini beroperasi di lapan sekolah, akan diperluas ke lebih banyak sekolah pada tahun-tahun akan datang.

Di bawah Youth COP, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) bekerjasama dengan pertubuhan belia SHINE untuk membimbing lebih ramai belia menjadi Duta Pencegahan Jenayah, yang boleh menggalakkan rakan sebaya mereka menjauhi jenayah dan membuat pilihan positif.

MSF juga akan meningkatkan Program Youth GO! bagi belia berisiko.

Peningkatan yang akan dilaksanakan lewat tahun ini akan melengkapkan peserta dengan kemahiran hidup untuk mengatasi cabaran, membantu mereka kekal fokus pada pelajaran serta membina daya tahan.

Alat-alat berasaskan data akan digunakan untuk menilai risiko dan keperluan individu dengan lebih baik supaya sokongan dapat disesuaikan, manakala keluarga akan lebih terlibat secara aktif untuk mewujudkan persekitaran rumah yang stabil dan menyokong.

JENAYAH RENTAS GENERASI

Encik Tong turut menekankan risiko melakukan kesalahan yang berlanjutan rentas generasi.

Kajian MSF dan NCSS mendapati kanak-kanak yang ibu bapa mereka pernah dipenjarakan adalah 3.9 kali lebih berkemungkinan melakukan kesalahan, berbanding kanak-kanak yang ibu bapa mereka bukan bekas pesalah.

Satu lagi kajian yang dijalankan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) mendapati satu daripada lima anak penagih dadah kemudian melakukan kesalahan.

"Justeru kaitannya agak jelas, dan kita perlu melakukan apa yang kita mampu untuk memutuskan kaitan itu, kaitan rentas generasi," kata Encik Tong.

Bagi memberikan sokongan lebih besar kepada keluarga, SPS dan MSF akan memperkukuh penyelarasan kes silang agensi supaya bantuan tepat pada masanya dan menyeluruh dapat diberikan apabila seseorang banduan dipenjarakan.

SPS juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan masyarakat untuk menyediakan sokongan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada keluarga, membantu pesalah mengukuhkan hubungan keluarga dan kembali bersama keluarga selepas dibebaskan.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita