Polis sah tolak permohonan SDP anjur acara kumpul dana oleh Chee Soon Juan
Polis mengesahkan pada Rabu (24 Jun) bahawa permohonan untuk menganjurkan satu acara "perarakan awam" oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) dari Jumaat hingga Ahad ini sudah ditolak.
Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan.
SINGAPURA: Polis mengesahkan pada Rabu (24 Jun) bahawa permohonan untuk menganjurkan satu acara "perarakan awam" oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) dari Jumaat hingga Ahad ini sudah ditolak.
"Acara SDP itu adalah berdasarkan sesuatu matlamat yang diperjuangkan dan oleh itu memerlukan permit," menurut polis semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
Dalam catatan Facebook pada Rabu (24 Jun),Setiausaha Agung SDP Chee Soon Juan berkata bahawa polis menolak permohonan parti itu bagi acara "Walk The Talk" di mana Dr Chee akan "berjalan kaki sekeliling negara" untuk mengumpul dana bagi parti tersebut.
Dr Chee menambah bahawa beliau pernah melakukan perkara serupa untuk mengumpul dana pada 2015 dan beliau turut mendedahkan penjelasan yang diberikan kepadanya oleh pihak polis.
"Dengan keadaan semasa dan langkah-langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan semasa Fasa 2, polis tidak meluluskannya dan tidak akan memberikan permit bagi sebarang perhimpunan awam atau perarakan tidak kira apa saja tujuannya sama ada berunsur politik ataupun tidak dan tanpa mengira saiz kumpulan yang akan mengambil bahagian,” kata jurucakap Pasukan Polis Singapura (SPF).
Jurucakap SPF menegaskan "kegiatan yang dianjurkan atas alasan untuk memperjuangkan sesuatu matlamat, meskipun dijalankan oleh seorang individu sekalipun, boleh menyebabkan orang ramai berkumpul dan ini meletakkan orang awam dan peserta lebih berisiko dijangkiti COVID-19".
Jurucakap polis itu turut mendedahkan bahawa SDP sebelum ini pernah memohon permit untuk mengadakan acara seperti itu dari 3 hingga 5 April tahun ini dan pihak polis mengeluarkan permit kepada SDP pada 24 Mac. Garis panduan jarak selamat COVID-19 ketika itu menetapkan acara dan perhimpunan dengan 250 atau lebih peserta pada satu-satu masa mesti digantung.
"Pada 1 April 2020, SDP memberitahu Polis bahawa ia memutuskan untuk menangguhkan acara tersebut," katanya.
Dalam catatannya, Dr Chee mempersoalkan perbezaan antara acara itu dan beliau melakukan 'walkabout' atau lawatan bertemu penduduk.
"Sekiranya pihak berkuasa bimbang aktiviti seperti itu mungkin menyebabkan orang ramai berkumpul semasa wabak COVID-19, mengapa adakan pilihan raya sekarang?" kata beliau.
"Keputusan untuk menolak permohonan kami akan menjejas keupayaan kami untuk mengumpul dana bagi kempen Pilihan Raya Umum kami," kata beliau, sambil menggesa rakyat Singapura supaya menyumbang kepada kempen SDP.
Polis menyatakan bahawa parti-parti politik dan anggota mereka boleh meneruskan sesi beramah mesra dengan penduduk seperti biasa, "yang sudah diadakan bahkan sebelum krisis COVID-19, selagi mereka mematuhi langkah-langkah jarak selamat semasa".
Jurucakap SPF menambah bahawa seperti yang diumumkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada awal Jun, untuk Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, parti-parti politik dan calon-calonnya boleh melakukan lawatan bertemu penduduk dan dan berkempen selagi langkah-langkah keselamatan dipatuhi.
"Ini mengimbangi keprihatinan terhadap kesihatan kita dan memastikan pengundi mempunyai akses kepada mesej kempen pilihan raya daripada parti-parti politik dan para calon agar mereka dapat membuat pilihan yang berhemah," kata jurucakap SPF.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.