Skip to main content

Singapura

Polis S'pura, M'sia padu tenaga lebur sindiket penipuan cinta internet; mangsa ditipu S$400,000

Polis Singapura dan Malaysia memberkas empat orang dan berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan cinta rentas sempadan yang dipercayai menipu lebih S$400,000 daripada para mangsanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis S'pura, M'sia padu tenaga lebur sindiket penipuan cinta internet; mangsa ditipu S$400,000

(Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 25 May 2020 08:35AM Dikemas Kini : 25 May 2020 08:38AM

SINGAPURA: Polis Singapura dan Malaysia memberkas empat orang dan berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan cinta rentas sempadan yang dipercayai menipu lebih S$400,000 daripada para mangsanya.

Sindiket yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu dipercayai bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya lapan penipuan cinta di Internet yang dilaporkan di Singapura dan Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya pada Ahad (24 Mei).

Operasi bersama itu dijalankan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD) dari SPF dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan maklumat yang diberikan oleh Singapura, para pegawai dari Malaysia menyerbu sebuah apartmen di Kuala Lumpur pada 19 Mei, menurut SPF.

Seorang wanita rakyat Malaysia berusia 30 tahun dan tiga lelaki warga Nigeria yang berusia antara 30 dengan 35 tahun diberkas.

Sebilangan peralatan telekomunikasi dan sebuah komputer riba turut dirampas dalam operasi tersebut.

"Tanpa menghiraukan perintah berkurung yang dikuatkuasakan ke atas perdagangan dan pergerakan manusia, para penjenayah menggunakan Internet untuk menyasarkan mangsa-mangsa di peringkat antarabangsa," kata Pengarah CAD David Chew.

"Sedang kami terus (menangani kes-kes sebegini), orang ramai boleh mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri mereka dan orang tersayang daripada menjadi mangsa penipu yang beroperasi menerusi media sosial," kata beliau.

Ini termasuk bersikap lebih berwaspada apabila berkenalan dengan orang yang tidak dikenali online kerana mereka mungkin bukan seperti yang cuba dipaparkan di laman media sosial, kata Encik Chew.

Orang ramai juga harus berhati-hati jika sesiapa yang dikenali secara online meminta wang atau jika mereka menerima panggilan daripada para pegawai asing yang meminta wang untuk melepaskan bungkusan yang dikirimkan.

Sumber : CNA/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita