Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis S'pura, M'sia leburkan 2 sindiket penipuan rentas sempadan sasar pemohon kerja

Dua sindiket rentas sempadan yang didakwa mengendalikan penipuan pekerjaan dan wang simpanan tetap berjaya dileburkan menyusuli satu operasi bersama oleh polis dari Singapura dan Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (10 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Polis S'pura, M'sia leburkan 2 sindiket penipuan rentas sempadan sasar pemohon kerja

Penangkapan dibuat oleh polis Singapura dan Malaysia dalam operasi bersama ke atas sindiket penipuan rentas negara, dari 6 hingga 10 Dis 2021. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 11 Dec 2021 10:14AM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 10:16AM

SINGAPURA: Dua sindiket rentas sempadan yang didakwa mengendalikan penipuan pekerjaan dan wang simpanan tetap berjaya dileburkan menyusuli satu operasi bersama oleh polis dari Singapura dan Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (10 Dis).

Sindiket itu dipercayai menyasarkan lebih 100 mangsa penipuan pekerjaan dan wang simpanan tetap yang dilaporkan di Singapura, melibatkan kerugian lebih S$1.5 juta, menurut SPF.

Serbuan serentak dilancarkan di Singapura, Johor dan Kuala Lumpur dari Isnin hingga Jumaat, membawa kepada penangkapan tujuh suspek di Singapura serta lapan di Malaysia.

Berdasarkan siasatan awal, sindiket itu menyasarkan mangsa dari kedua-dua Singapura dan Malaysia serta mengubah wang haram hasil jenayah mereka di Malaysia, tambah SPF.

MODUS OPERANDI

SPF menyatakan ia turut menyaksikan kaedah baru penipuan pekerjaan yang menyasarkan mangsa di Singapura sejak Oktober lalu.

Penipuan seumpama itu melibatkan sebuah sindiket memuat naik iklan pekerjaan yang menawarkan wang tunai kilat di wadah media sosial berbeza. Ia juga menggunakan taktik mendampingi mangsa melalui aplikasi kiriman mesej sebelum memperkenalkan mereka kepada pekerjaan yang dimaksudkan.

"Pekerjaan itu memerlukan mangsa, kebanyakannya pemohon kerja, untuk membantu meningkatkan penjualan wadah online, yang dikawal oleh penipu, dengan membeli atau menjual produk," menurut SPF. Mangsa juga boleh diminta untuk menyelesaikan tugasan seperti meningkatkan rating atau keterlihatan produk.

Mangsa akan diminta untuk mendaftarkan akaun di wadah-wadah yang dikawal oleh penipu dan menokok wang ke akaun tersebut untuk melakukan tugasan. Sebagai ganjaran, mereka dijanjikan komisen antara 0.6 peratus hingga 20 peratus, menurut SPF.

Penipu akan memberikan mangsa maklumat akaun bank milik individu yang tidak dikenali untuk membuat pembayaran.

Mereka akan membayar balik mangsa dan memberikan mereka komisen yang dipersetujui itu bagi urus niaga pertama untuk meyakinkan mangsa bahawa ia sememangnya satu pekerjaan yang sah, tambah polis.

"Bagaimanapun, penipu kemudian akan memperdaya mangsa untuk memasukkan jumlah wang lebih besar bagi meraih lebih banyak komisen. Mangsa akhirnya menyedari mereka ditipu apabila mereka tidak dapat mengeluarkan wang tersebut dari akaun mereka," menurut SPF.

Muslihat lain melibatkan kaedah penipuan simpanan tetap, di mana mangsa akan menerima SMS dengan pengepala (header) palsu, kononnya daripada bank, mengiklankan deposit tetap dengan kadar faedah yang tinggi.

Mangsa akan diarahkan untuk menghubungi satu nombor yang disediakan di dalam SMS berkenaan untuk menyatakan minat dan mendapatkan lebih banyak maklumat tentang promosi simpanan tetap tersebut, menurut polis.

"Apabila dihubungi, penipu kemudian berusaha untuk mendapatkan mangsa mendedahkan maklumat peribadi mereka seperti butiran bank atau kata laluan sekali sahaja atau memindahkan wang ke akaun bank tidak dikenali."

PATAHKAN SINDIKET

Operasi bersama itu adalah hasil "kerjasama meluas" dan perkongsian maklumat antara SPF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menurut polis.

Sewaktu operasi di Malaysia, Jabatan Ehwal Komersil (CAD) SPF dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM menyerbu beberapa lokasi. Mereka memberkas beberapa lelaki dan seorang wanita, berumur antara 22 hingga 24 tahun.

Pada masa yang sama di Singapura, para pegawai dari CAD dan tujuh divisyen polis darat memberkas enam lelaki serta seorang wanita, berumur antara 17 hingga 44 tahun.

Berdasarkan siasatan awal, kesemua tujuh individu itu dipercayai membantu jenayah sindiket dengan menjalankan pindahan dana, pengeluaran wang atau menggunakan akaun bank mereka untuk keuntungan kewangan, menurut SPF.

"Sindiket jenayah rentas sempadan akan menyasarkan anda jika anda tidak berhati-hati dan percaya akan janji-janji bahawa komsien tinggi bagi kerja minimum atau kadar faedah tinggi untuk wang simpanan tetap adalah benar," kata Timbalan Pengarah Siasatan Kewangan CAD Ian Wong.

SPF akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatannya dari Malaysia untuk mengesahkan dan mencegah sindiket rentas sempadan yang menggunakan kerahsiaan Internet untuk melakukan jenayah," kata Encik Wong.

"Kami juga mengambil tindakan tegas terhadap keldai wang di Singapura, yang menjual akaun bank mereka kepada sindiket-sindiket ini atau secara aktif membantu mengubah wang hasil jenayah mereka."

Polis memberi amaran kepada para pemohon kerja agar berwaspada terhadap iklan pekerjaan yang menjanjikan gaji tinggi untuk pekerjaan yang melibatkan tanggungjawab ringan.

"Perniagaan yang sah tidak memerlukan pemohon kerja untuk menggunakan akaun bank mereka sendiri untuk menerima wang bagi pihak perniagaan atau membuat bayaran pendahuluan untuk mendapatkan tawaran pekerjaan serta meraih komisen," SPF memberi peringatan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan