Polis S'pura, M'sia lebur sindiket penipuan cinta Internet
Polis Singapura dan Malaysia berganding bahu untuk mematahkan sindiket penipuan cinta Internet yang dipercayai bertanggungjawab atas kerugian lebih S$100,000.

Bukti kes dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia. (Gambar: JSJK/PDRM)
SINGAPURA: Polis Singapura dan Malaysia berganding bahu untuk mematahkan sindiket penipuan cinta Internet yang dipercayai bertanggungjawab atas kerugian lebih S$100,000.
Dalam kenyataan medianya pada Khamis (16 Sep), Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan seorang wanita berusia 41 tahun membuat aduan pada Mei tentang kehilangan sekitar S$28,000.
Mangsa berkawan dengan seorang lelaki di Facebook pada Mac dan menjalin hubungan dengannya.
Lelaki itu mendakwa dia kononnya mengendalikan sebuah projek pelantar minyak di Ukraine dan berjanji akan berkahwin dengan mangsa di Singapura sebaik sahaja projek itu selesai.
Menurut SPF, lelaki itu kemudian mendakwa dia tidak dapat mengakses akaun banknya untuk membeli jentera baru yang diperlukan bagi meneruskan projek tersebut.
"Selepas itu, dia dipercayai meminta mangsa memberikan pinjaman kepadanya. Mangsa bersetuju dan memindahkan sejumlah S$12,000 ke sebuah akaun bank Singapura yang disediakan oleh tertuduh," menurut SPF.
Mangsa diperdayakan sekali lagi sebanyak S$16,000 melalui satu insiden berasingan apabila beliau memberitahu orang asing yang turut dikenali melalui Facebook tentang insiden pertama. Individu itu memberitahu mangsa beliau sudah ditipu dan berjanji akan membantunya mendapatkan semula wangnya, menurut SPF.
Mangsa kemudian memindahkan wang ke dua akaun bank Singapura untuk "khidmat mendapatkan semula wangnya", menurut polis.
POLIS M'SIA LANCAR SERBUAN DI SELANGOR
Sebuah sindiket yang berpangkalan di Malaysia dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Pada 14 September, para pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah apartmen di Selangor dan menangkap seorang lelaki warga Nigeria berusia 22 tahun.
Beberapa komputer riba, telefon bimbit, kad ATM/debit Singapura dan kad kredit dirampas.
Di Singapura, seorang wanita berumur 66 tahun diberkas manakala lagi tiga wanita, berusia antara 31 tahun hingga 62 tahun, disiasat atas tuduhan pengubahan wang haram. Siasatan terhadap keempat-empat wanita itu sedang dijalankan.
Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya tujuh kes di Singapura, melibatkan sekitar S$37,000 dan satu kes di Malaysia membabitkan RM210,000 (S$67,837), menurut SPF.
“Kami akan terus bekerjasama dengan CCID (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM) untuk melumpuhkan kegiatan sindiket penipuan cinta Internet rentas sempadan," kata Encik David Chew, Pengarah Jabatan Ehwal Komersil (CAD) Singapura.
"Sindiket-sindiket ini biasanya menggunakan akaun-akaun bank Singapura untuk mengubah hasil wang haram mereka."
Sesiapa didapati bersalah memperolehi atau memindahkan faedah jenayah di bawah Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Kesalahan Serius (Penyitaan Faedah) boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi lebih banyak maklumat tentang cara mengelakkan penipuan, orang awam boleh melayari scamalert.sg atau menghubungi talian antipenipuan di 1800-722-6688.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penipuan sedemikian boleh menghubungi polis di talian 1800-255 0000 atau menyerahkan maklumat di www.police.gov.sg/iwitness.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.