Polis S'pura dan M'sia patahkan sindiket penipuan kerja di Johor
Satu sindiket jenayah Malaysia yang dipercayai dalang di sebalik skim penipuan melibatkan ratusan mangsa di Singapura berjaya dipatahkan dalam satu siasatan bersama oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Malaysia.

Contoh mesej yang dihantar kepada mangsa sindiket penipuan kerja. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
SINGAPURA: Satu sindiket jenayah Malaysia yang dipercayai dalang di sebalik skim penipuan melibatkan ratusan mangsa di Singapura berjaya dipatahkan dalam satu siasatan bersama oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Malaysia.
Demikian menurut SPF dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat (25 Jun).
Dalam satu serbuan di empat lokasi pada Isnin (21 Jun), polis Johor berjaya memberkas 22 warga Malaysia - 11 lelaki dan 11 perempuan berusia antara 15 dengan 28 tahun - yang disyaki menganggotai sindiket tersebut. Polis juga merampas 48 peranti telekomunikasi, 12 komputer riba serta risalah-risalah latihan, menurut SPF.

Kumpulan itu dipercayai menjalankan skim penipuan pekerjaan yang melibatkan lebih daripada 250 mangsa di Singapura tahun ini, tambah SPF.
Para pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil SPF dan Kontinjen Polis Johor serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Malaysia terlibat dalam usaha mematahkan sindiket yang berpangkalan di Johor itu.
Hari ini, pengarah Jabatan Ehwal Komersil Singapura David Chew mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sejawatnya di Malaysia atas "sokongan kuat dan komitmen dalam menangani sindiket-sindiket jenayah rentas negara."
Encik Chew berkata sindiket itu "menggunakan pelbagai cara untuk menghubungi para mangsa merentasi sempadan antarabangsa dengan tawaran pekerjaan palsu yang menjanjikan gaji yang lumayan".
Para mangsa diminta membuat tempahan di wadah-wadah e-dagang dan menyalurkan bayaran ke akaun-akaun bank pihak ketiga untuk merangsang rating online pedagang berkenaan, kata Encik Chew.
Beliau menggesa orang ramai supaya "melindungi diri sendiri dan orang-orang tersayang daripada menjadi mangsa penipuan" sedang polis "terus berusaha mematahkan penipuan-penipuan" tersebut.
Untuk itu, pihak polis akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara, tambah SPF.
Polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak menerima "tawaran kerja yang mencurigakan dan yang menawarkan gaji lumayan bagi usaha minimum" dan supaya mengesahkan kesahihan tawaran-tawaran kerja dengan lelaman e-dagang yang rasmi.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang penipuan, orang ramai boleh melungsuri www.scamalert.sg atau menghubungi talian Hotline Antipenipuan di 1800-722-6688.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.