Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis mungkin dibenar ambil DNA dari lebih ramai pesalah, suspek di bawah Rang baru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kementerian Dalam Negeri (MHA) sedang meneroka untuk meluaskan pangkalan data DNA pesalah dan suspek.

Ini bagi membolehkan polis menghuraikan jenayah dengan lebih berkesan lagi.

Satu Rang Undang-Undang dibentangkan di Parlimen pada Isnin (1 Ogos)yang menyarankan pengumpulan DNA secara lebih luas lagi dari golongan pesalah dan suspek.

Menurut MHA, Rang itu juga menyarankan agar lebih banyak penggunaan maklumat DNA dibenarkan, selain memperkenalkan prosedur bagi membolehkan orang ramai memohon data dikeluarkan daripada pangkalan tersebut.

Buat masa ini, polis hanya boleh mendapatkan gambar, cap jari dan maklumat DNA bagi jenayah yang boleh didaftarkan.

Ia merujuk kepada jenayah lebih serius seperti membunuh, merogol, merompak, menipu dan mendera kanak-kanak - iaitu jenis jenayah yang pelakunya akan mempunyai rekod jenayah.

"Dengan menghadkan pengumpulan butir mengenai individu dan maklumat DNA kepada jenis jenayah itu sahaja telah menghasilkan pangkalan data yang lebih kecil, yang mungkin menghadkan keupayaan polis untuk menyelesaikan jenayah, terutamanya dalam kes dengan petunjuk yang sangat sedikit," kata MHA dalam satu kenyataan media.

LUASKAN PANGKALAN DATA

Pangkalan data DNA di Singapura ditubuhkan pada 2002.

Selain daripada jenayah yang boleh didaftar, Rang Undang-undang baru itu bertujuan untuk membenarkan polis mengumpul maklumat untuk mengenalpasti DNA dan bukan DNA bagi jenayah yang "layak" juga.

Ia merujuk kepada jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara dan tidak boleh dikompaun oleh pendakwa raya atau seseorang yang diberi kuasa oleh undang-undang, kata MHA.

Contoh-contoh kesalahan tersebut termasuk bergaduh, sengaja menyebabkan kecederaan, membuat filem lucah dan memandu berbahaya menyebabkan kecederaan.

Polis tidak akan dibenarkan mengumpul maklumat DNA bagi kesalahan kecil seperti membuang sampah sembarangan, kesalahan letak kereta dan gagal mematuhi langkah COVID-19, yang mana pesalah boleh membayar denda sebagai ganti pendakwaan.

"Maklumat mengenal pasti DNA dan bukan DNA adalah alat yang berguna untuk menyelesaikan jenayah dan akan menjadi lebih berkesan jika terdapat pangkalan data yang lebih besar untuk dibandingkan dengan sampel dari tempat kejadian," kata MHA.

Maklumat mengenalpasti bukan DNA termasuk sebarang jantina, umur, rupa dan ketinggian seseorang, serta sebarang dokumen yang mengandungi maklumat yang boleh mengenal pasti individu tersebut.

Memperluaskan pangkalan data bertujuan memenuhi kepentingan awam kerana data itu berguna dalam membantu polis menyelesaikan jenayah, membebaskan mereka yang tidak bersalah dan mengenal pasti pelakunya, kata MHA.

Jika Rang Undang-undang itu diluluskan, polis juga akan dapat mengumpul maklumat mengenal pasti DNA dan bukan DNA daripada mereka yang telah ditangkap, atau diberikan perintah tahanan atau perintah sekatan, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada masa ini, pihak berkuasa hanya boleh mengumpul maklumat seperti cap jari dan gambar daripada mereka yang ditangkap atau ditahan di bawah ISA.

Cadangan itu bertujuan untuk melindungi Singapura dengan lebih baik daripada ancaman terhadap keselamatan negara, kata MHA.

“Semua akses kepada pangkalan data akan dirakam dan direkodkan. Terdapat juga jejak audit kalis gangguan untuk mengesan sebarang data yang diubah,” tambahnya.

“Langkah-langkah ini akan melindungi dan mencegah penyalahgunaan data sensitif tersebut. Pegawai yang menyalahgunakan kuasa mereka akan dikenakan tindakan berat.”
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan