Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis, MinLaw beri amaran penipuan baru pinjaman hutang di S'pura; lebih 20 mangsa diperdaya S$110,000

Polis dan Kementerian Undang-undang (MinLaw) memberi amaran kepada orang awam tentang satu penipuan pinjaman baru di mana penipu menawarkan pinjaman menerusi kiriman mesej yang tidak diminta dan kemudian menghantar dokumen rasmi yang mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis, MinLaw beri amaran penipuan baru pinjaman hutang di S'pura; lebih 20 mangsa diperdaya S$110,000

(Gambar hiasan: TODAYonline)

Diterbitkan : 14 Oct 2019 08:04PM Dikemas Kini : 14 Oct 2019 08:07PM

SINGAPURA: Polis dan Kementerian Undang-undang (MinLaw) memberi amaran kepada orang awam tentang satu penipuan pinjaman baru di mana penipu menawarkan pinjaman menerusi kiriman mesej yang tidak diminta dan kemudian menghantar dokumen rasmi yang mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai.

Sejak September lalu, lebih 20 aduan penipuan diterima dengan mangsa diperdaya sekurang-kuranganya S$110,000. Ini menurut polis dan pendaftar pemiutang MinLaw dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (14 Okt).

Jika mangsa membalas kiriman mesej yang menawarkan pinjaman, penipu biasanya akan menghantar dokumen yang kononnya daripada MinLaw mahupun Penguasa Kewangan Singapura (MAS) atau kedua-duanya dengan meminta mangsa untuk membayar jumlah pendahuluan dan cukai GST 7 peratus sebelum pinjaman boleh diluluskan.

Menurut kenyataan tersebut: "Tujuannya adalah untuk memperdaya mangsa supaya percaya bahawa mereka sedang berurusan dengan pemiutang berlesen".

Dalam sesetengah kes, mangsa mungkin menerima satu lagi dokumen yang memaklumkan mereka bahawa permohonan pinjaman sudah pun diproses.

Sekalipun mangsa menolak untuk membuat pembayaran, penipu akan mengganggu mereka dengan mendakwa bahawa pinjaman tersebut sudahpun diluluskan dan hanya akan dibatalkan jika mereka membayar yuran pemprosesan.

Dalam kenyataan tersebut, polis menasihati orang awam supaya jangan membalas kiriman mesej sedemikian. Sebaliknya, penerima patut menyekat atau melaporkan nombor tersebut sebagai penipuan di WhatsApp atau menerusi aplikasi pihak ketiga.

Orang ramai juga harus elak daripada memberi maklumat peribadi mereka - seperti nombor NRIC, SingPass atau butiran akaun bank - kepada sesiapa.

Polis menekankan peminjam wang berlesen tidak dibenarkan untuk membuat sebarang panggilan ugutan atau menghantar kiriman mesej tidak diminta kepada orang awam.

Anggota masyarakat yang ingin mengambil pinjaman perlu hadir secara fizikal di tempat perniagaan pemiutang wang berlesen yang diluluskan untuk mendapatkan kelulusan.

Polis menjelaskan ini kerana mereka bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk mengesahkan identiti dan maklumat peminjam di pejabat seumpama itu.

Polis menambah pemiutang berlesen tidak akan meminta pemohon pinjaman untuk membuat sebarang pembayaran sebelum pengagihan wang pinjaman ataupun untuk membuat sebarang pembayaran bagi menjamin pinjaman hutang.

Ini termasuk GST dan yuran-yuran lain seperti yuran pentadbiran dan pemprosesan.

"Yuran pentadbiran boleh dikenakan oleh pemiutang berlesen selepas pinjaman diberikan tetapi ini biasanya akan dipotong daripada pinjaman hutang yang diberikan kepada peminjam," jelas polis.

Orang ramai boleh menghubung talian bantuan polis di nombor 1800-255-0000 untuk menyediakan maklumat mengenai penipuan atau membuat laporan di laman www.police.gov.sg/iwitness.

Untuk meminta nasihat berkaitan penipuan, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan antipenipuan di nombor 1800-722-6688 atau ke laman web www.scamalert.sg. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan