Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis keluarkan amaran skim penipuan baru tawar kerja di aplikasi palsu 'Shopee Pay'

Satu skim penipuan baru tawar pekerjaan membabitkan sebuah aplikasi mudah alih yang palsu bernama "Shopee Pay" menyebabkan sekurang-kurangnya 11 mangsa kerugian sekitar S$53,000 sejak Disember lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu skim penipuan baru tawar pekerjaan membabitkan sebuah aplikasi mudah alih yang palsu bernama "Shopee Pay" menyebabkan sekurang-kurangnya 11 mangsa kerugian sekitar S$53,000 sejak Disember lalu.

Di bawah skim penipuan itu, mangsa dipelawa untuk melakukan pekerjaan yang menjanjikan bayaran komisen menerusi penjualan produk dalam aplikasi itu, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Jumaat (7 Jan).

Aplikasi 'Shopee Pay' tidak ada kaitan dengan wadah e-dagang Shopee, yang menyatakan bahawa ciri e-dompetnya ShopeePay hanya boleh diakses melalui aplikasi rasmi.

"Dalam kes sedemikian, mangsa lazimnya diperkenalkan kepada "pekerjaan" itu oleh rakan-rakan atau selepas dihubungi menerusi wadah media sosial," menurut polis.

Mereka kemudian akan diarahkan untuk memuat turun aplikasi palsu itu melalui pautan laman web yang diberikan kepada mereka.

"Bagi memenuhi keperluan "pekerjaan" dan melakukan urus niaga menggunakan aplikasi mudah alih palsu itu, mangsa akan diarah untuk memasukkan wang ke dalam akaun 'Shopee Pay' mereka dengan membeli mata wang kripto lalu memindahkannya ke dalam alamat dompet mata wang kripto seperti yang tertera dalam aplikasi itu," menurut polis.

"Dalam sesetengah kes, mata wang kripto dibeli menerusi urus niaga P2P melalui pemindahan bank atau PayNow, sebelum dipindahkan ke dompet mata wang kripto milik penipu."

Setelah selesai melakukan urus niaga itu, aplikasi mudah alih palsu itu akan menunjukkan bahawa dana itu boleh digunakan oleh mangsa bagi "pekerjaan mereka".

Mangsa diberikan komisen selepas membuat tempahan, seperti yang tertera dalam aplikasi mereka.

Mangsa hanya akan sedar mereka diperdaya setelah mendapati mereka tidak boleh mengeluarkan bayaran komisen dalam akaun 'Shopee Pay' mereka.

"Dalam sesetengah kes, mangsa dimaklumkan bahawa "Penguasa Kewangan Singapura" telah membekukan akaun 'Shopee Pay' mereka dan tokokan dana selanjutnya diperlukan untuk mengeluarkan dana daripada akaun mereka," menurut polis.

Orang ramai dinasihatikan supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti menolak tawaran pekerjaan mencurigakan yang menawarkan hasil lumayan tanpa perlu kerja keras.

Polis juga mengingatkan supaya tidak memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak disahkan dan menghantar wang kepada atau melakukan urus niaga dalam mata wang kripto bersama individu yang tidak dikenali atau tidak pernah berjumpa empat mata.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan