Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis keluarkan amaran penipuan pancingan data yang menyamar sebagai laman web OneMotoring

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (17 Sep) mengeluarkan amaran tentang penipuan pancingan data yang menyamar sebagai laman web Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), OneMotoring.

Emel, yang didakwa dihantar oleh OneMotoring, akan memaklumkan mangsa bahawa cukai jalan raya kenderaan mereka akan tamat tempoh tidak lama lagi.

Sejak September 2024, sekurang-kurangnya lapan kes penipuan sedemikian dilaporkan, dengan kerugian sekurang-kurangnya S$28,000, umum polis dalam kenyataan media.

Penipu akan menyamarkan URL palsu dengan menggunakan pautan yang kelihatan sah, untuk mengelirukan mangsa supaya percaya ia adalah pautan yang selamat, tambah polis.

Mangsa kemudian akan dibawa ke laman web pembayaran pancingan data yang menyamar sebagai laman OneMotoring, selepas mereka menekan URL palsu.

Mangsa akan diminta untuk memberikan nombor pendaftaran kenderaan, butiran peribadi dan butiran kad kredit atau debit mereka.

Mangsa hanya akan menyedari mereka ditipu selepas transaksi yang tidak dibenarkan dibuat melalui kad kredit atau debit mereka, tambah polis.

Menurut polis, LTA tidak memaklumkan para pemilik kenderaan mengenai cukai jalan raya yang akan tamat tempoh melalui emel.

Notis mengenai cukai jalan raya yang akan tamat tempoh dihantar kepada pemilik kenderaan melalui salah satu daripada tiga cara: SMS dengan identiti penghantar "gov.sg", surat-e dihantar kepada akaun OneMotoring, hanya melalui log masuk Singpass, dan surat fizikal dihantar kepada alamat yang didaftar pemilik kenderaan.

Mesej daripada LTA juga tidak disertakan dengan pautan pembayaran.

Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau menyerahkan maklumat secara online melalui www.police.gov.sg/iwitness.

Orang awam juga boleh melayari www.scamalert.sg atau menghubungi talian anti-penipuan di 1800-722-6688 bagi maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan