Polis jelaskan sebab permit pelancaran parti Tan Cheng Bock belum diluluskan
Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (3 Jun) menyatakan, kenyataan yang membayangkan kelengahan pada kelulusan permit-permit relevan bagi pelancaran Progress Singapore Party (PSP) adalah "tidak benar".
Gambar fail Tan Cheng Bock. (Gambar TODAY)/Jason Quah)
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (3 Jun) menyatakan, kenyataan yang membayangkan kelengahan pada kelulusan permit-permit relevan bagi pelancaran Progress Singapore Party (PSP) adalah "tidak benar".
Ini selepas pengasas PSP Tan Cheng Bock berkata pada Isnin bahawa beliau "kecewa" mengumumkan parti itu akan menangguhkan pelancarannya, yang asalnya dijadual berlangsung pada 15 Jun di Singapore Expo.
Dalam satu catatan Facebook, Dr Tan berkata bahawa penangguhan itu disebabkan oleh permit polis bagi acara itu dan permit-permit lain yang relevan seperti Lesen Hiburan Awam (PEL) yang "masih menanti untuk diluluskan".
Dalam satu kenyataan pada Isnin, pihak polis menyatakan bahawa pengerusi PSP, Encik Wang Swee Chuang, sudah memohon untuk permit polis pada 3 Mei.
"Pada hari yang sama (3 Mei) polis meminta Encik Wang untuk memberikan lebih maklumat, dan mengingatkannya pada 7 Mei untuk menyediakan maklumat itu," menurut SPF.
Pihak polis menambah bahawa PSP ingin memainkan muzik yang dirakam dan menayangkan satu video. Encik Wang dinasihati agar memohon untuk PEL dan menghantar video itu kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk dinilai.
"Ini adalah keperluan standard bagi semua tayangan video/filem di tempat awam," menurut polis.
"Polis sekali lagi mengingatkan Encik Wang pada 27 Mei untuk membuat permohonan PEL dan menghantar video/filem itu kepada IMDA untuk penilaian."
Permohonan PEL "akhirnya dihantar" pada 27 Mei, tambah polis.
Menurut laman SPF, tempoh memproses permohonan PEL adalah "12 hari bekerja dari tarikh permohonan dan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan diterima".
Pihak polis menyatakan bahawa IMDA sudah menghubungi Encik Wang pada 29 Mei untuk "menasihatinya supaya menghantar filem itu bagi penilaian" dan berkongsi dengannya proses penghantaran agar filem itu dapat diperiksa awal bagi pelancaran 15 Jun. Ia menambah bahawa sehingga kini, PSP belum berbuat demikian.
"Polis dan IMDA secara proaktif menghubungi Encik Wang beberapa kali untuk mendapatkan butir acara itu dan memproses permohonan dengan tujuan memudahkan kelulusan sebelum tarikh acara yang dirancang," kata SPF.
"PSP telah menangguhkan acara itu tanpa menghubungi polis."
Dalam catatannya, Dr Tan memberitahu bahawa parti itu sedang meninjau tarikh pelancaran yang baru pada "hujung Jun atau sekitar Julai".
Pada April, Dr Tan mengumumkan pendaftaran PSP secara formal. Lewat bulan itu, beliau mendedahkan logo parti itu - sebatang pokok nipah yang menurutnya melambangkan kemajuan, wawasan, kekuatan dan kehidupan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.