Skip to main content

Singapura

Polis Hong Kong bebaskan keluarga warga SG susuli pertelingkahan akibat 'bunyi bising'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keluarga yang terdiri daripada tiga anggota warga Singapura dibebaskan oleh polis Hong Kong.

Ini menyusuli satu pertelingkahan antara keluarga itu dengan seorang lelaki tempatan mengenai bunyi bising di sebuah gerai makanan di luar atau lebih dikenali sebagai 'dai pai dong', yang menyebabkan pemberkasan kesemua empat individu.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu (20 Dis), polis Hong Kong mengesahkan kerakyatan keluarga tersebut. Pihaknya menambah ia menerima satu laporan pada 10 Dis pada sekitar 10.30 malam daripada seorang pejalan kaki mengenai pertelingkahan tersebut, yang dipercayai tercetus di sebuah restoran di Woosung Street di Yau Ma Tei, Kowloon.

Siasatan awal polis mendedahkan bahawa seorang lelaki warga Hong Kong berusia 50 tahun, yang mempunyai nama keluarga Liu, berbalah dengan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 54 tahun atas "isu bunyi bising" di restoran berkenaan. Dia didakwa menyerang lelaki rakyat Singapura itu dengan cawan kaca.

Isterinya, 52 tahun serta anak lelakinya berusia 17 tahun juga dilaporkan terlibat dalam pertengkaran tersebut. Kedua-duanya merupakan warga Singapura.

Polis Hong Kong menyatakan bahawa lelaki tempatan terbabit mengalami kecederaan di tangannya semasa pertelingkahan tersebut, manakala lelaki warga Singapura tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangannya.

Wanita dan remaja itu pula cedera di tangan mereka, dan dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans. Kesemua empat individu itu diberkas kerana disyaki menyerang sehingga menyebabkan kecederaan pada tubuh badan, menurut polis Hong Kong.

Pihak polis menambah bahawa lelaki tempatan itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan lanjut. Dia akan dikehendaki untuk melaporkan kepada pihak polis pada awal Januari.

Sementara itu, tiga rakyat Singapura itu sudahpun dibebaskan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita