Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis guna dron pantau jumlah pengunjung ke acara sambut Tahun Baharu di Marina Bay

Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mengerahkan dron bagi memantau jumlah pengunjung dalammasa sebenar di acara menyambut Tahun Baharu 2025 di Marina Bay.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis guna dron pantau jumlah pengunjung ke acara sambut Tahun Baharu di Marina Bay
Diterbitkan : 28 Dec 2024 01:13PM Dikemas Kini : 28 Dec 2024 01:14PM
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mengerahkan dron bagi memantau jumlah pengunjung dalammasa sebenar di acara menyambut Tahun Baharu 2025 di Marina Bay.

Diadakan pada 31 Disember hingga awal pagi 1 Januari 2025, ia sebahagian daripada siri acara bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60.

Selain daripada acara kiraan detik tahun baharu di kawasan Marina Bay, penduduk juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai program di 17 kawasan kejiranan.

Kawasan Marina Bay lazimnya dikunjungi oleh sekitar 500,000 pengunjung di acara kiraan detik tahun baharu sebelumnya, kata seorang jurucakap Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebagi menjawab soalan Mediacorp.

"Dengan adanya acara sambutan lain tahun ini, kami menjangkakan jumlahnya akan berkurangan," menurut URA.

Namun, polis menjangkakan orang ramai akan sama-sama menyertai acara sambutan di sekitar kawasan Marina Bay.

Menurut SPF pada Sabtu (28 Dis), ia akan mengerahkan dron yang dilengkapi dengan lampu dan alat pembesar suara bagi membuatnya lebih mudah dilihat serta menyiarkan mesej keselamatan awam.

Agensi Teknologi dan Sains Home Team (HTX) bekerjasama dengan polis untuk memasang alat penganalisis video dikenali sebagai Q-Crowd Counter, yang menggunakan teknik kecerdasan buatan (AI) dan penglihatan komputer bagi menentukan jumlah pengunjung dalam masa beberapa saat.

Pihak media berpeluang melihat sendiri bagaimana dron tersebut beroperasi.

Dua pegawai polis menerbangkan dron itu di kawasan Marina Bay pada Khamis.

Sebaik sahaja dron itu menjadi stabil, ia mengambil masa sekitar dua hingga lima saat untuk menghitung jumlah pengunjung yang dikesan dalam setiap rangka video.

Dron tersebut mempunyai ketepatan 90 peratus pada siang hari dan 80 peratus pada malam hari untuk melakukan kiraan jumlah pengunjung.

Maklumat yang diperolehi membolehkan pihak polis membuat keputusan berhemah bagi mengelakkan sebarang potensi berlaku kesesakan, menurut SPF.

Data yang terkumpul juga akan digunakan untuk memperbaiki portal Crowd@MarinaBay untuk menyediakan kemas kini mengenai jumlah pengunjung dan kawasan yang ditutup di sekitar kawasan Marina Bay.

Portal itu telah digunakan bagi acara besar-besaran di Marina Bay sejak Perbarisan Hari Kebangsaan 2022.

Selain itu, polis juga akan menggunakan langkah pengurusan kesesakan yang lain semasa acara kiraan detik tahun baharu, seperti Mobicam.

Mobicam adalah sebuah kamera yang digunakan untuk memantau jumlah pengunjung.

Ia dilengkapi dengan lampu kelip, alat pembesar suara, dan papan tanda elektronik yang membolehkan pegawai di Pusat Markas Polis untuk menyiasarkan makluman audio dan mesej visual kepada orang awam.

Ia juga boleh digunakan untuk menunjukkan arah ke tempat-tempat dituju.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Wong Keng Hoe berkata acara kiraan detik itu adalah satu 'acara ikonik'.

DAC Wong yang merupakan komander di Divisyen Polis Pusat berkata dron, kamera dan papan tanda yang terang itu terbukti "sangat berkesan".

Semasa acara sambutan itu, orang ramai dapat menjangkakan masa perjalanan lebih lama, kereta api tidak berhenti di sesetengah stesen MRT yang sesak dan kawasan-kawasan ditutup bagi mengelakkan berlaku kesesakan teruk.

Beliau juga mengingatkan pengunjung supaya bersabar dan patuhi arahan polis dan pengawal keselamatan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan