Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis dedah siasatan menyeluruh terhadap pembohongan Raeesah Khan, sangkal dakwaan Pritam Singh

Polis menolak dakwaan Ketua Parti Pekerja Pritam Singh bahawa tiada kesalahan dibuat terhadap mereka menerusi kenyataan palsu yang diberikan oleh bekas anggota parti Raeesah Khan di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis dedah siasatan menyeluruh terhadap pembohongan Raeesah Khan, sangkal dakwaan Pritam Singh

(Gambar TODAY, YouTube/gov.sg)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 08:09AM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 08:12AM

SINGAPURA: Polis menolak dakwaan Ketua Parti Pekerja Pritam Singh bahawa tiada kesalahan dibuat terhadap mereka menerusi kenyataan palsu yang diberikan oleh bekas anggota parti Raeesah Khan di Parlimen. Polis menarik perhatian bahawa "sejumlah besar sumber" dan ramai pegawai polis terlibat untuk menyiasat dakwaan palsu itu.

Selepas Cik Raeesah pertama kali memberitahu Parlimen pada 3 Ogos tentang seorang mangsa serangan seksual yang diberi layanan tidak sensitif di sebuah balai polis, polis menyatakan bahawa para pegawai memeriksa banyak rekod - termasuk semua rekod pelawat ke balai polis merata Singapura sejak 1 Januari 2017.

Ini bagi mengenal pasti lawatan yang dibuat oleh Cik Raeesah memandangkan beliau mendakwa bahawa beliau menemani mangsa ke balai polis.

Pemeriksaan dijalankan sebanyak dua kali bagi memastikan bahawa polis "tidak terlepas pandang sebarang lawatan", menurut polis dalam satu kenyataan media pada Isnin (13 Dis).

"Sejumlah besar sumber diperuntukkan kepada usaha ini, kerana ia merupakan kenyataan yang dibuat oleh (Anggota Parlimen) di Parlimen dan ia diambil serius dan dianggap sebagai benar."

Pihak polis menambah bahawa para pegawai juga "mempertimbangkan kemungkinan" Cik Raeesah menemani mangsa tanpa memasuki balai polis.

"Oleh yang demikian, kami memeriksa lebih 1,400 kes serangan seksual dan kes-kes berkaitan dari 2018 hingga 2021.

"Kami mengehadkan senarai ini kepada kes-kes yang dilihat sebagai ada persamaan dengan gambaran yang diberikan oleh (Cik Raeesah) di Parlimen.

"Para pegawai penyiasat yang bertanggungjawab ke atas kes-kes itu diminta untuk memeriksa rekod siasatan mereka secara terperinci. Butiran-butiran lain turut diperiksa dengan para pegawai berkenaan."

Selain itu, para pegawai juga memeriksa semua maklum balas awam yang diterima pada 2018 berkaitan serangan seksual "namun tidak dapat mengaitkan sebarang maklum balas kepada kes yang disebut".

"Polis memperuntukkan sejumlah besar sumber untuk menyiasat dakwaan Cik Raeesah. Ramai pegawai polis dikerahkan untuk menyiasat dakwaan palsu itu."

Pada Jumaat lalu (10 Dis), Encik Singh memberi bukti lisan di satu perbicaraan oleh Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen dan bercakap tentang kesan kenyataan palsu yang dibuat oleh Cik Raeesah terhadap polis.

Ketua Pembangkang itu berkata bahawa polis tidak akan menerima kesan buruk daripada pembohongan seumpama itu, sambil menambah bahawa pasukan polis bukanlah sebuah pertubuhan yang lemah.

Polis pada Isnin menyatakan bahawa "Encik Singh meremehkan kesan-kesan yang mungkin berlaku akibat dakwaan palsu itu".

"Beliau berkata tiada kesalahan dilakukan terhadap polis menerusi dakwaan palsu yang dibuat terhadap polis, dan mempersoalkan tugasan yang dilakukan oleh polis bagi menyiasat dakwaan palsu itu."

Polis menambah bahawa "kesan kuantitatif" daripada penipuan - seperti yang dibuat oleh Cik Raeesah - "bukan setakat waktu yang dibazirkan".

"Terdapat juga penangguhan dalam menangani perkara-perkara dan kes-kes lain, yang membawa kesan terhadap orang awam - di mana kes-kes mereka boleh ditangani dengan lebih cepat jika waktu dan sumber tidak dibazirkan untuk cuba menyiasat satu kejadian yang tidak pernah berlaku."

Polis menegaskan bahawa kepercayaan orang awam terhadap SPF adalah penting bagi "keupayaan para pegawai kami untuk menjalankan misi dengan baik, bagi memastikan keselamatan orang ramai".

"Jika orang awam, yang mana kami berikan khidmat, tidak mempercayai kami, sukar untuk mendapatkan kerjasama mereka, yang lazimnya penting untuk menghalang, mencegah dan mengesan kes jenayah dan insiden keselamatan.

"Tuduhan palsu terhadap polis juga mempunyai kesan terhadap kepercayaan dan keyakinan mangsa terhadap polis dan mungkin menghalang mangsa untuk tampil meminta bantuan," katanya.

Polis memberi amaran bahawa pihaknya memandang serius semua dakwaan terhadap profesionalisme mereka.

"Apabila dakwaan dibuat, kami akan menyiasatnya dengan teliti dan jika ia benar, kami akan mengambil langkah untuk memperbetulkan kesilapan itu dan mengurangkan kemungkinan perkara itu berulang.

"Kenyataan palsu seperti yang dibuat oleh Cik Raeesah akan menimbulkan rasa sangsi dan selepas beberapa waktu, menjejas keyakinan ramai terhadap Pasukan Polis Singapura."

Mereka juga berkata: "Komen-komen yang merendahkan atau meremehkan kesan dakwaan palsu terhadap polis sangat mengecewakan. Ia juga menjejas semangat para pegawai yang bekerja keras setiap hari demi memastikan keselamatan rakyat Singapura." 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan