Skip to main content

Singapura

Polis buru 2 lelaki bersenjata serang 2 lelaki lain di Boon Lay

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Operasi sedang dijalankan untuk memburu dua lelaki yang mencederakan dua lelaki lain dengan senjata dalam kejadian yang berlaku di Boon Lay Drive, menurut polis pada awal pagi Khamis (7 April).

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Blok 175 Boon Lay Drive kira-kira pada 5.02 petang Rabu (6 April).

Dua lelaki dipercayai menggunakan senjata untuk mencederakan dua lelaki lain yang berusia 22 dan 23 tahun.

Kedua-dua mangsa tersebut berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital.

Melalui rakaman-rakaman video dan gambar-gambar yang dilihat oleh Mediacorp, kedua-dua lelaki yang bersenjata itu dilihat menggunakan sesuatu yang kelihatan seperti senjata berbilah panjang di tempat letak kereta.

Suara seorang wanita kedengaran berteriak untuk mengatakan bahawa dia sudah menghubungi polis, sedang kedua-dua lelaki itu berlegar-legar di kawasan tersebut. Kedua-dua lelaki itu kemudian dilihat melarikan diri dari tempat kejadian sambil memegang senjata masing-masing.

Salah seorang mangsa kelihatan berlumuran darah di mukanya sedang dia dirawat oleh seorang lelaki lain.

"Siasatan awal menunjukkan kedua-dua lelaki bersenjata itu dikenali oleh kedua-dua mangsa tersebut. Operasi memburu kedua-dua lelaki tersebut sedang dijalankan," menurut polis.

"Polis tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan ganas dan perbuatan yang secara terang-terangan melanggar undang-undang. Kami akan berusaha untuk memberkas para pesalah dan menangani mereka mengikut undang-undang."

Polis juga mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan melindungi orang buruan adalah satu kesalahan serius yang boleh dihukum penjara dan didenda.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita