Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis boleh peroleh data TraceTogether bagi siasatan jenayah: Desmond Tan

Pasukan Polis Singapura (SPF) boleh memperoleh data TraceTogether bagi tujuan siasatan jenayah, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan di Parlimen pada Isnin (4 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis boleh peroleh data TraceTogether bagi siasatan jenayah: Desmond Tan

(Gambar: Ooi Boon Keong/ TODAY)

Diterbitkan : 04 Jan 2021 04:05PM Dikemas Kini : 04 Jan 2021 04:11PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) boleh memperoleh data TraceTogether bagi tujuan siasatan jenayah, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan di Parlimen pada Isnin (4 Jan).

SPF diberi kuasa di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC)untuk memperoleh data, termasuk data TraceTogether, kata Encik Tan.

"Pemerintah adalah penjaga amanah data TT (TraceTogether) yang diserahkan oleh individu dan langkah-langkah ketat dilaksanakan untuk melindungi data peribadi ini," Encik Tan menekankan.

"Contoh langkah-langkah ini termasuk hanya membenarkan pegawai diberi kuasa mengakses data, menggunakan data tersebut hanya untuk tujuan yang dibenarkan dan menyimpan data pada platform data yang selamat."

Encik Tan berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (MP) Christopher de Souza, yang bertanya sama ada data TraceTogether akan digunakan untuk siasatan jenayah dan apakah peruntukan dan perlindungan undang-undang untuk menggunakan data tersebut.

Di bawah Akta Sektor Awam (Tadbir Urus), pegawai perkhidmatan awam yang secara cuai atau sengaja mendedahkan data tanpa kebenaran, atau menyalahgunakan data, boleh didenda sehingga S$5,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, kata Encik Tan.

"Kami tidak mengecualikan penggunaan data TraceTogether dalam keadaan di mana keselamatan dan keamanan warga terjejas, dan ini juga diguna pakai untuk semua data lain," kata Encik Tan, sebagai menjawab pertanyaan tambahan daripada AP Parti Pekerja Gerald Giam yang bertanya sama ada penggunaan data tersebut akan melanggar kenyataan privasi TraceTogether.

"Pegawai polis yang diberi kebenaran boleh bersandarkan pada Kanun Prosedur Jenayah ... kuasa untuk memperoleh data ini bagi tujuan siasatan jenayah, dan untuk tujuan keselamatan dan keamanan warga kita, tetapi selain daripada itu data TraceTogether memang hanya boleh digunakan untuk pengesanan kontak dan memerangi situasi COVID."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan