Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis berkas lelaki bersenjata rompak wanita di Kovan; mangsa dicerut wayar elektrik

Seorang lelaki berusia 28 tahun diberkas kerana dipercayai merompak seorang wanita di Kovan. Dia juga dikatakan mencekik mangsa menggunakan wayar elektrik.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis berkas lelaki bersenjata rompak wanita di Kovan; mangsa dicerut wayar elektrik

Polis menemui jam tangan Rolex, sebentuk cincin berlian dan wang tunai S$300 serta wayar elektrik yang digunakan suspek. (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 28 tahun diberkas kerana dipercayai merompak seorang wanita di Kovan. Dia juga dikatakan mencekik mangsa menggunakan wayar elektrik.

Dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Jumaat (5 Ogos), polis menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kes rompakan bersenjata di Richards Place pada 30 Julai, sekitar pukul 8.25 malam.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai merompak wanita itu dengan mengugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barangan berharganya.

Wanita itu menyerahkan jam tangan Rolex, dua cincin berlian dan gelang berlian "kerana ketakutan", menurut polis.

Suspek, yang dipercayai bersenjatakan pisau, juga dilaporkan mencerut leher mangsa dengan wayar elektrik.

Dia kemudian membawa mangsa ke sebuah mesin ATM di Hougang Street 21 dan menyuruh wanita itu mengeluarkan wang tunai sebanyak S$2,000.

Lelaki itu juga dipercayai menyuruh mangsa mengakses akaun perbankan online menggunakan telefon bimbit beliau dan memindahkan wang berjumlah S$50,000.

LELAKI DIBERKAS PADA 5 OGOS

Melalui siasatan susulan yang intensif, para pegawai dari Divisyen Polis Ang Mo Kio, Bedok dan Clementi serta para pegawai dari Jabatan Risikan Polis berjaya mengenal pasti lelaki berkenaan. Dia kemudian diberkas pada 5 Ogos.

Seutas jam tangan Rolex, sebentuk cincin berlian dan wang tunai berjumlah sehingga S$300 ditemui.

Jabatan Ehwal Komersil (CAD) juga menemui lebih S$47,000 daripada akaun bank yang menerima pindahan wang daripada akaun bank mangsa.

Komander Divisyen Ang Mo Kio, Penolong Pesuruhjaya (AC) Polis Zed Teo, memuji pegawai-pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut atas respons dan tindakan pantas mereka untuk mendapatkan semula barangan yang dirompak.

“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa saja yang melakukan jenayah dan kekerasan dan akan berusaha sedaya upaya dalam memastikan pesalah ditangkap dengan pantas dan ditangani mengikut undang-undang," kata AC Zed Teo.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (6 Ogos) atas tuduhan merompak dengan bersenjata.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara tiga hingga 14 tahun dan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan rotan.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan