Skip to main content

Singapura

Polis berkas 7 wanita di 7 kedai Orchard Towers dalam serbuan cegah maksiat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Polis menangkap tujuh wanita disyaki terlibat dalam kegiatan maksiat di Orchard Towers menyusuli satu "siri operasi" yang dijalankan Divisyen Polis Tanglin selama dua minggu bagi mencegah jenayah seumpama itu awal bulan ini.

Serbuan-serbuan itu, yang dijalankan antara 7 hingga 19 Julai, turut menyaksikan seorang lelaki berusia 52 tahun didakwa pada Rabu lalu kerana dipercayai terlibat mengendalikan rumah urut tidak berlesen di sebuah bangunan komersil di Orchard Road.

Mediacorp difahamkan wanita-wanita yang ditangkap bukan dari rumah urut tidak berlesen lelaki itu.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu (27 Jul), polis menyatakan tujuh wanita itu, yang berusia antara 27 hingga 52 tahun, dipercayai beroperasi dari "cawangan-cawangan pusat beli-belah berasingan" di Orchard Towers.

Mereka ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Piagam Wanita, menurut polis.

Mediacorp difahamkan mereka ditangkap dari tujuh cawangan berbeza.

Siasatan masih dijalankan.

Polis menekankan operasi di Orchard Towers adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa bagi mencegah kegiatan maksiat di kawasan beli-belah itu.

Pihaknya juga menasihati tuan tanah supaya memastikan para penyewa tidak menjalankan kegiatan haram di premis mereka.

Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, Encik Cheong Chee Ming memberi amaran bahawa polis akan terus mengambil "tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah".

"Sesiapa saja yang didapati terlibat dalam kegiatan haram akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang," kata Encik Cheong, yang juga komander Divisyen Polis Tanglin.

Di bawah Piagam Wanita, pesalah kali pertama yang menyimpan, mengurus atau membantu dalam pengurusan pusat maksiat boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda maksimum S$3,000 atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, sesiapa yang mengaut sepenuhnya atau sebahagian hasil pendapatan melacur orang lain boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga S$10,000," menurut polis.

Polis juga menyatakan tindakan akan diambil terhadap pengendali yang melanggar undang-undang dan peraturan di bawah Akta Perniagaan Mengurut 2017.

Jika didapati bersalah, pesalah kali pertama boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum S$10,000 atau kedua-duanya sekali. Pesalah bentan berdepan hukuman lebih berat, tegas polis.
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita