Polis berkas 5 lelaki disyaki terlibat dalam kumpulan kongsi gelap
Gambar: SPF
SINGAPURA: Dalam siri operasi bersama yang dijalankan berikutan pelonggaran langkah pengurusan selamat COVID-19, polis memberkas lima lelaki kerana disyaki terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.
Polis melakukan serbuan di 84 tempat hiburan awam dan hiburan malam serta cawangan makanan dan minuman. 234 individu turut diperiksa semasa operasi yang dijalankan di seluruh negara itu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (5 Apr).
Operasi bersama itu dijalankan antara 29 Mac hingga 2 April dan dipimpin oleh Cawangan Sindiket Gelap Jabatan Siasatan Jenayah dan disokong oleh tujuh divisyen polis darat.
Para pegawai juga melakukan serbuan di Pusat Beli-belah Parklane, Clarke Quay, Jurong West dan Aliwal Street di Kampong Gelam.
Lima lelaki, berumur antara 21 hingga 40 tahun, ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kumpulan samseng, menurut polis.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan memilih untuk mencabuli undang-undang," menurut polis.
Semasa operasi itu, polis juga memberkas seorang lelaki berusia 28 tahun yang terlibat dalam kes rusuhan dan seorang lagi lelaki berumur 52 tahun, atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah terkawal.
Siasatan polis masih dijalankan terhadap tujuh lelaki berkenaan.
Mereka yang didapati bersalah menjadi anggota kumpulan kongsi gelap boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang terlibat dalam rusuhan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta dikenakan sebatan rotan.
Sesiapa yang disabitkan kesalahan memiliki dadah terkawal boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda tidak melebihi S$20,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang mengambil dadah terkawal boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.