Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis berkas 2 individu didakwa menipu pembeli iPhone 14 di Carousell

Anggaran Waktu Membaca:
Polis berkas 2 individu didakwa menipu pembeli iPhone 14 di Carousell

Dua suspek diberkas sejurus selepas mereka tiba di Lapangan Terbang Changi pada 25 Oktober 2022. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 26 Oct 2022 10:03AM Dikemas Kini : 26 Oct 2022 10:04AM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berumur 25 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam satu siri penipuan e-dagang, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (25 Okt).

Penipuan-penipuan tersebut termasuk penjualan telefon bimbit iPhone di platform e-dagang Carousell.

SPF menerima beberapa aduan daripada para mangsa, antara 1 Oktober hingga 17 Oktober, yang ditipu oleh seorang penjual online yang mengiklankan penjualan telefon bimbit seperti model siri iPhone 14 dan iPhone 13 di Carousell.

Lelaki itu didakwa gagal menghantar barangan-barangan setelah pembayaran dibuat oleh mangsa-mangsa menerusi PayNow atau pemindahan bank.

Menyusuli siasatan lanjut, para pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil (CAD) SPF dapat menentukan identiti kedua-dua individu itu dan memberkas mereka di Lapangan Terbang Changi pada Selasa sejurus selepas mereka tiba di Singapura.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa kedua-dua individu itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 140 kes serupa, dengan kerugian dilaporkan berjumlah lebih S$360,000," menurut SPF.

Kedua-dua suspek tersebut akan didakwa di mahkamah pada Rabu (27 Okt) kerana terlibat dalam subahat jenayah untuk melakukan penipuan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Polis menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika membuat sebarang pembelian online, misalnya dengan hanya membeli barangan daripada para penjual yang sah atau daripada sumber-sumber ternama dan boleh dipercayai, terutama sekali bagi barangan yang bernilai tinggi.

Polis menambah orang ramai seharusnya memilih perlindungan pembeli dengan menggunakan pilihan pembayaran tersedia yang hanya melepaskan pembayaran selepas penghantaran dilaksanakan.

Selain itu, seberapa boleh, orang ramai dinasihati supaya elak daripada membuat pembayaran pendahuluan atau pemindahan bank secara langsung kerana kaedah-kaedah itu tidak menawarkan sebarang perlindungan.

SPF memberi amaran bahawa penipu boleh memancing pembeli untuk menghubungi mereka secara langsung menerusi platform seperti Telegram, WhatsApp mahupun WeChat dengan memberi tawaran yang lebih baik atau lebih pantas jika pembayaran melalui pemindahan bank dibuat secara langsung kepada mereka.

Para penipu juga mungkin menggunakan akaun bank tempatan atau menyediakan salinan kad identiti untuk membuat mangsa-mangsa percaya bahawa mereka benar-benar seorang penjual.

"Jangan terpedaya dengan perangkap itu!" tegas SPF.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan