Skip to main content

Singapura

Polis beri amaran terhadap penipuan 'Subsidi Perumahan Johor-SG''

Anggaran Waktu Membaca:
Polis beri amaran terhadap penipuan 'Subsidi Perumahan Johor-SG''

Dokumen dengan tandatangan palsu Perdana Menteri Singapura dan Malaysia dan laman web palsu untuk "Subsidi Perumahan Johor-Singapura". (Gambar:SPF)

Diterbitkan : 04 Sep 2025 03:13PM Dikemas Kini : 04 Sep 2025 03:14PM
SINGAPURA: Polis pada Khamis (4 Sep) memberi amaran terhadap penipuan yang melibatkan "subsidi perumahan Johor-Singapura" yang tersebar online.

Para mangsa penipuan itu terjerat dengan iklan yang menggembar-gemburkan "Program Subsidi Perumahan JBSG" atau "Rumah Percuma Seberang Tambak" di wadah-wadah seperti Facebook.

Iklan itu memaparkan 'kerjasama' antara pemerintah Singapura dan kerajaan Johor untuk menyediakan perumahan bersubsidi, dan disertakan dengan pautan untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk memohon skim tersebut.

"Dalam satu kes, dokumen daripada penipuan itu memaparkan tandatangan palsu perdana menteri Singapura dan Malaysia," dedah polis dalam satu kenyataan media.

Dokumen palsu itu mendakwa bahawa inisiatif tersebut "direka sedemikian rupa untuk mempertingkatkan integrasi ekonomi dan meningkatkan taraf hidup di kedua-dua belah Seberang Tambak".

Ia juga mendakwa bahawa unit-unit di Iskandar Puteri akan dijual pada "kadar subsidi kebajikan yang mencerminkan kedua-dua realiti pasaran dan objektif bantuan sosial".
Related article image
Tangkapan skrin laman web palsu untuk "Subsidi Perumahan Johor-Singapura". (Imej: Pasukan Polis Singapura)
Selepas menekan pautan dalam iklan tersebut, mangsa akan dirujuk ke WhatsApp, di mana penipu akan berkomunikasi dengan mereka.

Pautan akan diberikan kepada mangsa untuk memasukkan maklumat peribadi mereka, seperti butiran kad pengenalan (NRIC), alamat kediaman, alamat emel dan butiran lain.

Menurut polis, mangsa sesetengah kes diminta untuk memindahkan wang secara online seolah-olah untuk membayar cukai setem, atau secara fizikal menyerahkan wang tunai kepada orang yang tidak dikenali.

“Polis ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa maklumat mengenai inisiatif ini adalah tidak benar dan maklumat peribadi boleh digunakan untuk melakukan penipuan,” kata Pasukan Polis Singapura (SPF).
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita