Skip to main content

Singapura

Polis beri amaran tentang seruan agar berkumpul di Kebun Bunga Singapura bagi acara berkaitan perang Israel-Hamas

Pasukan Polis Singapura (SPF) mengulangi pendiriannya untuk tidak membenarkan acara berkaitan perang Israel dengan Hamas diadakan di sini, di tengah-tengah seruan online supaya diadakan perarakan pada hujung minggu ini di Kebun Bunga Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) mengulangi pendiriannya untuk tidak membenarkan acara berkaitan perang Israel dengan Hamas diadakan di sini, di tengah-tengah seruan online supaya diadakan perarakan pada hujung minggu ini di Kebun Bunga Singapura.

SPF menyatakan demikian dalam respons kepada soalan media pada Khamis (15 Feb) bahawa mereka maklum mengenai seruan di media sosial supaya orang ramai berkumpul bagi acara 'Walk-Out Singapore' "bagi mengajukan pandangan berkaitan dengan konflik Israel-Hamas".

"Permit polis perlu ada bagi aktiviti sedemikian," kata SPF sambil menambah bahawa penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti sedemikian tanpa permit adalah satu kesalahan.

Merujuk kepada kenyataan mereka pada 13 Februari lalu, SPF menyatakan terdapat "keprihatinan tertentu terhadap keselamatan awam berhubung perhimpunan dan perarakan" berkaitan dengan konflik.

"Ia boleh menyebabkan ketegangan dan ketidakharmonian dalam masyarakat kita kerana setiap masyarakat di Singapura mempunyai pandangan berbeza terhadap perkara itu.

"Kami justeru tidak meluluskan sebarang permohonan untuk mengadakan acara berkaitan dengan konflik Israel-Hamas, tidak kira pihak mana ia menyokong."

SPF menyatakan ia telah menghubungi penganjur acara pada Khamis dan menasihatinya mengenai hal itu.

Pada 13 Februari lalu, SPF menyatakan mereka sedang menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan di dua acara berasingan yang diadakan pada 2 Februari lalu berkaitan dengan perang itu, termasuk satu perhimpunan awam di Orchard Road.

Pihak berkuasa juga menyatakan mereka maklum kepada seruan untuk melancarkan bantahan terhadap Israel semasa Pertunjukan Udara Singapura dan telah memberi amaran bahawa menganjur atau menyertai perhimpunan awam atau perarakan tanpa permit adalah satu kesalahan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita