Polis beri amaran tentang penipuan SMS; S$120,000 lesap dari 18 mangsa pada Jan
Jangan terpedaya dengan kiriman SMS penipuan yang mendakwa kad kredit atau debit anda sudah digantung.
Petikan gambar SMS palsu. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Jangan terpedaya dengan kiriman SMS penipuan yang mendakwa kad kredit atau debit anda sudah digantung.
Sekurang-kurangnya 18 mangsa kerugian S$120,000 sejak awal tahun ini angkara penipuan itu, demikian amaran yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Isnin (31 Jan).
Polis menyatakan mangsa-mangsa penipuan itu menerima satu kiriman SMS daripada "nombor palsu" yang menyatakan terdapat "masalah" dengan kad kredit atau debit mereka.
Mesej itu turut menyediakan satu nombor telefon dan menjemput mangsa untuk menghubungi nombor tersebut "bagi mendapatkan bantuan".
“Selepas menghubungi nombor itu, mangsa akan bercakap kepada penipu yang mendakwa terdapat masalah dengan kad kredit/debit mangsa dan meminta butiran (kad) mereka serta kata laluan sekali sahaja (OTP) atas alasan untuk membantu mangsa," menurut SPF.
Mangsa hanya menyedari mereka telah ditipu selepas urus niaga yang mencurigakan dibuat menggunakan kad mereka.
Polis menarik perhatian SMS seumpama itu tidak dihantar oleh bank mahupun pengeluar kad kredit atau debit.
Orang ramai seharusnya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat dengan memeriksa nombor yang tersenarai dalam laman rasmi bank atau yang tercetak pada kad bank mereka.
Mereka juga tidak seharusnya mendedahkan maklumat peribadi, butiran kad atau OTP mereka kepada sesiapa mahupun memindahkan wang ke dalam akaun bank milik seseorang yang tidak dikenali, nasihat polis.
Sebarang urus niaga mencurigakan harus dilaporkan kepada bank dengan segera, tambah SPF.
Polis juga menggalak orang ramai supaya memuat turun aplikasi ScamShield yang "mengenal pasti dan menapis mesej berunsur penipuan dengan menggunakan kecerdasan buatan".
“Ia juga menyekat panggilan daripada nombor telefon yang digunakan dalam kes penipuan lain atau yang dilaporkan oleh pengguna ScamShield. Buat masa ini ia disediakan bagi pengguna iPhone dan satu versi Android akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat," menurut SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.