Polis beri amaran skim penipuan pekerjaan babitkan SMS palsu dari wadah e-dagang
(Gambar: SPF)
SINGAPURA: Polis pada Rabu (11 Mei) memberi amaran mengenai skim penipuan pekerjaan membabitkan mesej palsu yang kononnya dihantar oleh wadah e-dagang yang menawarkan peluang pekerjaan.
Sekurang-kurangnya 50 individu terpedaya oleh skim penipuan sedemikian sejak Mei lalu, membabitkan kerugian sekurang-kurangnya S$430,000, menurut polis.
"Dalam kes tersebut, mangsa akan menerima mesej tidak diminta yang mengiklankan pekerjaan berkaitan pemasaran yang menjanjikan bayaran lumayan menerusi kiriman SMS, WhatsApp atau wadah media sosial," menurut polis dalam kenyataan media pada Rabu.
Kiriman SMS palsu itu akan muncul dalam perbualan sama dengan kiriman mesej sah yang dihantar oleh wadah e-dagang itu, kerana penipu itu memalsukan nombor atau nama wadah tersebut, menurut polis.
Penipu kemudian akan memberitahu mangsa bahawa bayaran komisen akan diberikan sebaik sahaja mereka selesai melakukan tugasan mudah menerusi online.
Mereka akan diarahkan untuk memberi butiran peribadi apabila mereka membuka akaun pada laman palsu yang meniru laman Lazada. Selepas berbuat demikian, mangsa akan disuruh untuk melakukan beberapa tugas bagi mendapatkan komisen.
Lazimnya, mangsa akan diberikan tugas mudah seperti menekan 'like' untuk produk-produk di laman web, yang mana mangsa akan diberi bayaran komisen S$2 bagi setiap tanda suka atau 'like' yang diberikan, menurut polis.
Setelah mereka dapat mengeluarkan bayaran komisen yang diterima pada peringkat awal, ini akan menambah keyakinan mangsa bahawa peluang pekerjaan itu adalah sah.
Mereka kemudian akan dijanjikan bayaran komisen sehingga 30 peratus jika membuat sebarang pembelian di laman palsu itu.
Untuk membuat pembelian, mangsa perlu memindahkan wang ke akaun bank milik "individu tidak dikenali" untuk dimasukkan ke dalam akaun mereka.
"Mangsa hanya menyedari mereka sudah ditipu apabila mereka tidak dapat mengeluarkan wang dari akaun masing-masing, atau apabila laman palsu Lazada itu sudah dipadamkan," menurut polis.
Mediacorp sudah pun menghubungi Lazada bagi mendapatkan maklumat lanjut.
LANGKAH PENCEGAHAN SKIM PENIPUAN
Polis mengingatkan orang ramai bahawa Lazada tidak menjalankan pengambilan pekerja baru menerusi kiriman SMS, WhatsApp atau Telegram.
Ia juga tidak akan membawa pengguna ke laman yang dikendalikan pihak ketiga atau meminta butiran peribadi untuk mendaftar bagi pekerjaan.
Orang ramai juga tidak harus menerima sebarang tawaran pekerjaan mencurigakan yang menjanjikan "pulangan lumayan bagi usaha tidak seberapa", menurut polis, sambil menambah bahawa orang ramai tidak harus memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak disahkan.
Mereka juga tidak harus memindahkan wang kepada sesiapa yang tidak dikenali atau tidak pernah bertemu muka dengannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.