Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis beri amaran skim penipuan menyamar sebagai pihak bank

Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (17 Mac) memberi amaran kepada orang awam tentang skim penipuan membabitkan penyamaran sebagai pihak bank seperti POSB, HSBC dan UOB.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (17 Mac) memberi amaran kepada orang awam tentang skim penipuan membabitkan penyamaran sebagai pihak bank seperti POSB, HSBC dan UOB.

Menurut polis, penipu akan menyamar sebagai pihak bank menggunakan tiga kaedah penipuan.

Dalam kaedah yang pertama, mereka mendakwa sedang menjalankan tinjauan menerusi emel daripada alamat palsu.

Mangsa akan mendapat emel kononnya daripada pihak bank. Emel itu akan menyatakan kononnya mangsa dipilih untuk menyertai satu tinjauan dan akan mendapat ganjaran wang tunai sebaik sahaja selesai melakukan tinjauan itu.

Setelah menekan pautan yang tertera pada emel, mangsa akan dibawa ke satu laman pancingan data untuk melakukan tinjauan itu. Sebaik sahaja mereka selesai melakukan tinjauan itu, mangsa akan diarah untuk menyerahkan butiran kad kredit/debit dan kata kunci sekali sahaja (OTP).

Mangsa yang percaya maklumat itu diperlukan untuk mendapatkan ganjaran wang tunai yang dijanjikan, akan menyerahkan butiran yang diminta laman tersebut

Mereka hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati urus niaga tanpa izin dilakukan menggunakan kad kredit atau debit mereka.

SMS PALSU PROMOSI PRODUK PERBANKAN

Kaedah kedua melibatkan penghantaran SMS palsu yang mempromosikan produk perbankan kepada mangsa.

Kiriman SMS itu akan mengandungi pautan palsu atau nombor telefon di mana mangsa boleh hubungi untuk mengetahui lebih lanjut tentang promosi perbankan yang sedang berlangsung, seperti promosi cengkeram tetap atau kadar faedah tinggi bagi simpanan.

Selepas menekan pautan palsu itu, mangsa akan dibawa ke sebuah laman pancingan data di mana mereka akan diarah untuk menyerahkan butiran kad kredit/debit dan OTP.

Dalam sesetengah kes di mana mangsa menghubungi nombor telefon yang tertera, si penipu akan menyamar sebagai seorang kakitangan bank dan menyuruh mangsa untuk memindahkan wang ke nombor akaun yang khusus, sambil mendakwa ia merupakan akaun baru yang dibuka untuk mangsa sebagai sebahagian daripada tawaran yang sedang berlangsung.

PANGGILAN VIDEO

Dalam kaedah ketiga, penipu akan melakukan panggilan video kepada mangsa menggunakan logo syarikat bank sebagai latar belakang menerusi aplikasi sembang seperti WhatsApp.

Dalam panggilan itu, penipu akan mendakwa diri mereka daripada pihak bank, lalu memaklumkan kepada mangsa pihaknya mengesan akses tanpa izin terhadap akaun bank mereka.

Di bawah helah ingin membantu mangsa dalam menyelesaikan isu itu, si pemanggil akan meminta butiran peribadi dan butiran log masuk bank mangsa.

Mangsa hanya menyedari diri mereka ditipu setelah mendapati terdapat urus niaga tanpa izin dibuat pada akaun bank mereka.

LANGKAH MENCEGAH JENAYAH

Polis menasihati orang awam supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan jenayah berikut:

  • Pihak bank tidak akan menghantar emel dan SMS yang mengandungi pautan kepada pelanggan;
  • Sahkan alamat emel pengirim untuk memastikan ia sama dengan syarikat yang diwakili;
  • Sahkan kesahihan maklumat dengan menghubungi pihak bank secara langsung;
  • Jangan sesekali dedahkan butiran peribadi anda, butiran log masuk bank, butiran kad kredit/debit dan OTP kepada sesiapa;
  • Sentiasa periksa dengan penjual yang tertera dalam kiriman SMS OTP yang diterima. Jangan serahkan OTP anda jika anda tidak mengenali penjual yang tertera dalam kiriman SMS itu;
  • Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam akaun bank anda kepada bank dengan segera.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan jenayah sedemikian boleh menghubungi hotline polis di 1800-255-0000 atau serahkan maklumat itu menerusi online.

Untuk lebih maklumat mengenai skim penipuan, orang ramai boleh melungsuri lelaman waspada penipuan atau hubungi talian Antipenipuan di 1800-722-6688.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan