Polis beri amaran skim penipuan iklan pekerjaan di Facebook
Polis pada Selasa (30 Apr) memberi amaran mengenai varian skim penipuan baharu di mana akaun WhatsApp mangsa terjejas apabila mereka menekan pautan iklan pekerjaan palsu di Facebook.
(Gambar: SPF)
"Mangsa akan menemui iklan pekerjaan yang menarik di Facebook lalu menghubungi nombor WhatsApp yang disediakan," demikian menurut kenyataan tersebut.
Polis menambah para mangsa kemudian akan diarahkan untuk memuat turun sebuah fail Kit Pakej Android (APK) melalui WhatsApp "bagi tujuan memperolehi butiran peribadi mereka".
"Namun tanpa disedari oleh mangsa, fail APK tersebut mengandungi perisian hasad yang membolehkan para penipu untuk memperolehi data daripada telefon bimbit mereka," menurut polis.
Selepas mangsa memuat turun dan memasang perisian hasad itu, mereka akan mendapati bahawa skrin telefon bimbit mereka terpadam atau mereka tidak dapat mengawal telefon bimbit mereka.
Apabila mangsa akhirnya mendapat akses kembali kepada telefon bimbit mereka, mereka mendapati bahawa mereka tidak lagi dapat mengakses akaun WhatsApp mereka.
Dalam sesetengah kes, aplikasi WhatsApp terpadam dari telefon bimbit mereka, menurut polis.
Mangsa juga menyedari bahawa akaun WhatsApp mereka terjejas apabila para kenalan memaklumkan kepada mereka akan mesej-mesej yang kononnya dihantar oleh mangsa untuk meminta pinjaman wang.
LANGKAH BERJAGA-JAGA
Polis menasihati orang awam supaya mengaktifkan ciri-ciri pengesahan dua peringkat bagi akaun WhatsApp dan berhati-hati jika menerima sebarang permohonan mencurigakan yang dihantar oleh kenalan mereka di WhatsApp.
Orang ramai juga dinasihati supaya hanya memuat turun aplikasi dari sumber-sumber rasmi seperti Google Play Store atau Apple App Store.
Orang ramai harus memastikan bahawa telefon bimbit mereka, komputer dan peralatan lain telah dipasang dengan sofwe anti virus yang telah dikemas kini dan alat menghapuskan perisian hasad dan juga pastikan bahawa sistem operasi telefon bimbit mereka serta aplikasi dikemas kini secara kerap supaya dilindungi oleh ciri-ciri keselamatan terkini, menurut polis.
Jika mangsa mengesyaki bahawa beliau mungkin mangsa kepada skim penipuan sedemikian, polis menasihati individu itu supaya menghidupkan mod 'penerbangan' pada telefon bimbit itu dan periksa sama ada sambungan Wi-Fi mereka dimatikan.
Mangsa juga harus menjalankan pemeriksaan anti-virus pada telefon bimbit mereka dan periksa jika terdapat sebarang urus niaga tanpa izin dilakukan pada akaun bank atau Singpass mereka dari peralatan lain.
Jika ada, mangsa harus membuat aduan polis.
Sebagai langkah berjaga-jaga, individu itu boleh lakukan 'tetapan semula kilang' terhadap telefon bimbit mereka dan menukar kata laluan yang penting.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.