Skip to main content

Singapura

Polis beri amaran skim penipuan baru libatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah

Polis pada Selasa (5 Jan) memberi amaran kepada orang ramai tentang wujudnya skim pancing butiran perbankan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis beri amaran skim penipuan baru libatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Jan 2021 10:41PM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 10:42PM

SINGAPURA: Polis pada Selasa (5 Jan) memberi amaran kepada orang ramai tentang wujudnya skim pancing butiran perbankan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah.

Aktiviti penipuan itu dilaporkan sejak Disember 2020, menurut polis dalam satu kenyataan.

Para mangsa melaporkan menerima panggilan telefon atau kiriman mesej yang kononnya dari agensi pemerintah seperti Pasukan Polis Singapura (SPF) atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM), tambah kenyataan itu.

"Agensi-agensi" tersebut akan mendakwa ada masalah pada akaun bank mangsa. Mangsa kemudian diminta untuk mengesahkan butiran peribadi atau perbankan seperti butiran log masuk perbankan internet, nombor kad pengenalan dan Kata Laluan Sekali Sahaja (OTP).

"Mangsa akan hanya sedar mereka ditipu apabila mendapati berlaku urus niaga tanpa izin dari akaun mereka," menurut kenyataan itu.

Polis menyatakan antara Januari 2020 hingga Jun 2020, hampir 900 kes penipuan sedemikian dilaporkan, melibatkan jumlah kerugian lebih S$3.6 juta.

Bagi tempoh yang sama pada 2019, 34 kes penipuan melibatkan perbuatan pancing data perbankan dilaporkan, menyebabkan kerugian sebanyak S$93,000.

Polis menasihati orang ramai supaya mematuhi langkah pencegahan jenayah berikut:

1. Jangan panik - Abaikan panggilan dan arahan pemanggil. "Tiada agensi pemerintah yang akan meminta butiran peribadi atau butiran log masuk akaun bank melalui panggilan telefon," menurut polis.

"Hubungi teman yang boleh dipercayai atau memberitahu ahli keluarga sebelum anda bertindak kerana anda mungkin dibelenggu emosi dan ia mengaburi keputusan yang diambil."

2. Jangan percaya - Penipu mungkin menggunakan teknologi pemalsuan ID pemanggil untuk menyembunyikan nombor telefon sebenar dan memaparkan nombor yang berbeza.

Panggilan yang dilakukan dari nombor tempatan mungkin sebenarnya tidak datang dari Singapura, kata polis.

Polis juga menggesa orang ramai supaya berwaspada jika menerima panggilan antarabangsa yang tidak dijangka, dan menolak panggilan nombor telefon tempatan yang palsu.

3. Jangan beri - Jangan dedahkan butiran peribadi atau butiran perbankan Internet dan OTP kepada sesiapa pun.

Orang ramai boleh ke laman www.police.gov.sg/iwitness atau hubungi nombor hotline polis di 1800-255-0000 untuk menghantar sebarang maklumat mengenai kes penipuan sedemikian.

Bagi maklumat lebih lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh ke laman www.scamalert.sg atau menghubungi talian Anti-Scam Hotline di 1800-722-6688.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita