Polis beri amaran penipuan peras ugut melalui emel
Pasukan Polis Singapura (SPF) memberi amaran mengenai kes penipuan melibatkan peras ugut melalui emel.
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) memberi amaran mengenai kes penipuan melibatkan peras ugut melalui emel.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (29 Okt), polis sudah menerima lebih 15 aduan sejak bulan September mengenai para mangsa yang menerima emel daripada akaun-akaun emel yang tidak diketahui atau alamat emel yang menyerupai emel mereka.
Para penipu biasanya mendakwa memiliki petikan skrin mangsa menonton bahan-bahan pornografi dan mengancam untuk mendedahkan kegiatan itu kepada keluarga dan rakan mereka sekiranya mereka tidak membuat pembayaran Bitcoin.
Dalam beberapa kes, para mangsa diberitahu bahawa komputer mereka diserang sejenis perisian hasad atau 'malware' yang memantau kegiatan online mereka.
Bagi kes-kes lain pula, para penipu mendakwa bahawa mereka memiliki kata laluan akaun emel mangsa atau mendapatkan maklumat kenalan mangsa dari platform-platform rangkaian sosial.
Polis menasihati orang awam supaya tidak menghiraukan sebarang arahan untuk membuat bayaran. Orang ramai juga dinasihati supaya menutup kamera komputer apabila ia tidak digunakan bagi melindungi privasi mereka.
Langkah-langkah pencegahan lain termasuk memastikan agar sistem keselamatan komputer dan alat mudah alih mereka sentiasa dikemaskini, serta menambah ciri Pengesahan Dua Faktor (2FA) bagi akaun-akaun emel mereka jika disediakan oleh penyedia khidmat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.