Polis beri amaran penipuan pancing data menerusi SMS libatkan laman palsu Singpass

(Gambar: SPF)
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (18 Mac) memberi amaran kepada orang ramai mengenai SMS palsu yang dikirimkan kepada mereka untuk memperdaya penerima supaya masuk ke laman web Singpass yang palsu.
Mangsa melaporkan telah menerima SMS yang tidak diminta daripada pengirim yang tidak dikenali dengan nombor seperti "73333". Mesej itu menunjukkan bahawa akaun Singpass mangsa sudah luput dan mereka perlu mengakses pautan yang dikirim untuk mengaktifkan semula akaun mereka.
Apabila mangsa menekan pautan dalam SMS itu, mereka dibawa ke laman web palsu yang meminta pengguna memasukkan ID log masuk Singpass, kata laluan dan butiran pengesahan dua faktor mereka.
Laman web palsu ini kelihatan serupa dengan laman web log masuk Singpass, kata polis, tetapi ia mempunyai URL tidak sah dengan beberapa pautan imej yang rosak pada halaman itu.
Polis menambah laman web palsu itu sudah disekat selepas pengguna Singpass melaporkan SMS yang mencurigakan itu.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut:
Jangan klik pada pautan yang tidak disahkan daripada pengirim yang tidak diketahui. Singpass tidak menghantar SMS dengan pautan;
Sentiasa semak domain laman web sebelum memasukkan ID dan kata laluan Singpass anda.
Laman web rasmi bagi Singpass ialah singpass.gov.sg;
Apabila ragu-ragu, sentiasa sahkan ketulenan mesej secara langsung dengan agensi yang menghantar mesej. Anda boleh menghubungi talian bantuan Singpass di 6335 3533.
Sesiapa yang mengesyaki mereka menjadi mangsa pancingan data sedemikian hendaklah menukar kata laluan Singpass mereka, menyemak sejarah transaksi Singpass mereka bagi sebarang aktiviti yang mencurigakan dan membuat laporan polis atau menyerahkan butiran kejadian secara online.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah tersebut boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau menyerahkannya secara online
Untuk maklumat lanjut tentang penipuan, orang ramai boleh melayari laman web amaran penipuan atau menghubungi Talian Hotline Antipenipuan di 1800-722-6688.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.