Polis beri amaran penipuan pancing data akaun perbankan; S$114,000 lesap sejak Mei
(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) beri amaran kepada orang ramai pada Ahad (5 Jun) mengenai kenaikan trend penipuan yang memancing data, melibatkan penipu yang menyamar sebagai kakitangan bank.
Sekurang-kurangnya 28 mangsa sudah kehilangan kira-kira S$114,000 sejak Mei tahun ini selepas mereka memberikan butiran peribadi dan Kata Laluan Sekali Sahaja (OTP) kepada penipu, menurut SPF dalam satu kenyataan media.
Mangsa dalam kes pancingan data baru-baru ini terpedaya dengan penipu selepas menerima panggilan telefon ataupun SMS daripada penipu yang menyamar sebagai kakitangan bank.
Mereka yang menerima panggilan telefon diarahkan supaya memberikan butiran peribadi seperti nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan mereka.
Polis mendedahkan bahawa perkara tersebut dilakukan dengan alasan bahawa bank memerlukan butiran peribadi untuk mengesahkan urus niaga yang dilakukan...ataupun mangsa sedang disiasat kerana menyalurkan jumlah wang yang besar ke akaun bank lain".
Selepas memberikan butiran peribadi, mangsa akan menerima OTP. Mereka kemudian akan memberikan OTP tersebut kepada penipu.
Mangsa yang menerima SMS daripada penipu digesa supaya klik satu pautan dan mengisi butiran peribadi mereka.
Mangsa melakukan sedemikian kerana mesej yang diterima mendakwa bahawa kad debit atau kredit mereka sudah disekat atau akaun bank mereka dibekukan kerana "akaun bank tersebut luar biasa," menurut pihak polis.
Mangsa hanya sedar mereka ditipu apabila mereka menerima pemberitahuan bahawa terdapat urus niaga tanpa kebenaran yang dilakukan daripada akaun bank mereka.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan jenayah seperti berikut:
1) Jangan klik pada pautan yang tidak disahkan daripada pengirim yang tidak diketahui. Bank tidak menghantar SMS dengan pautan.
2) Sentiasa semak kesahihan dakwaan mengenai masalah akaun bank atau kad yang diberikan oleh bank dengan laman web rasmi bank atau daripada sumber rasmi.
3) Jangan memberikan butiran peribadi atau butiran akaun perbankan serta OTP kepada sesiapa.
4) Laporkan sebarang urus niaga penipuan kepada bank anda dengan segera.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah tersebut boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau menyerahkannya secara online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.