Skip to main content

Singapura

Polis beri amaran penipuan menyamar sebagai pegawai CID

Polis memberi amaran kepada orang ramai berhubung satu penipuan di mana pemanggil menyamar sebagai seorang pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) menerusi panggilan telefon.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis beri amaran penipuan menyamar sebagai pegawai CID

Petikan video menunjukkan panggilan ID penipu yang disyaki. (Video: Loh Boon Kwang menerusi SPF/Facebook)

Diterbitkan : 06 Jul 2019 07:54PM Dikemas Kini : 06 Jul 2019 07:55PM

SINGAPURA: Polis memberi amaran kepada orang ramai berhubung satu penipuan di mana pemanggil menyamar sebagai seorang pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) menerusi panggilan telefon.

Seorang anggota masyarakat menerima panggilan sedemikian daripada seseorang yang mendakwa dirinya dari CID, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Sabtu (6 Jul).

Penipu itu kemudian meminta mangsa supaya menunjukkan bahagian depan dan belakang kad ATM beliau kepadanya menerusi panggilan video sambil mendakwa bahawa ia sebahagian daripada peraturan baru untuk mengemas kini butiran peribadi lelaki berkenaan.

Polis menyatakan: "Memandangkan sesetengah kad ATM berfungsi sebagai kad debit, penipu itu mungkin sedang cuba untuk mendapatkan butiran kad debit berkenaan.

"Polis ingin menekankan panggilan-panggilan itu bukanlah dibuat oleh pihak polis."

Dalam satu perkongsian video oleh Pasukan Polis Singapura di laman Facebook, seorang lelaki didengar sedang berbual dengan seorang penipu yang disyaki menerusi sebuah aplikasi mudah alih.

Ia menunjukkan panggilan itu dibuat oleh 'C.I.D DEPARTMENT'.

Semasa perbualan tersebut, pemanggil didengar berulang kali meminta lelaki yang dihubungi untuk menggunakan fungsi video aplikasi berkenaan bagi menayangkan kad ATM beliau.

Polis menasihati orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mereka menerima panggilan mencurigakan daripada pihak-pihak yang tidak dikenali. Ini termasuk:

- Jangan mengendahkan panggilan sedemikian kerana agensi-agensi pemerintah tidak akan meminta butiran peribadi dan pemindahan wang menerusi panggilan telefon;

- Jangan menghubungi nombor itu semula untuk memeriksa kesahihan permintaan yang dibuat jika mereka menerima panggilan daripada nombor yang mencurigakan. Ini kerana penipu mungkin tidak mendedahkan nombor telefon sebenar mereka;

- Jangan berikan sebarang maklumat peribadi seperti nama atau butiran pasport

Anggota masyarakat yang ingin tampil berkongsi maklumat mengenai penipuan sedemikian boleh menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau menyerahkannya secara online di www.police.gov.sg/iwitness.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita