Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis beri amaran kemunculan semula penipu menyamar sebagai pembeli di Carousell

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Polis pada Jumaat (19 Ogos) memberi amaran mengenai kemunculan semula jenis penipuan pancingan data di mana penipu akan menyamar sebagai pembeli dalam platform jual beli Carousell.

Mangsa akan "diarah untuk menyelesaikan transaksi di laman web pihak ketiga selepas menerima pautan URL pancingan data daripada penipu yang menyamar sebagai pembeli sebenar", menurut polis dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 10 mangsa sudah terpedaya dan kehilangan sekurang-kurangnya S$17,000 sejak Julai, tambahnya.

Menurut polis, penipu lazimnya akan mendekati mangsa di Carousell dan menyatakan minat mereka untuk membeli barangan yang dijual mangsa.

"Selepas bersetuju untuk membeli barangan itu, penipu akan memberitahu mangsa bahawa dia memerlukan maklumat mangsa untuk membuat pembayaran melalui syarikat logistik terkenal seperti FedEx dan SingPost."

Penipu kemudian akan menghantar pautan URL pancingan data kepada mangsa melalui mesej di dalam aplikasi pihak ketiga seperti WhatsApp dan mengarahkan mangsa untuk tekan pautan itu untuk menerima bayaran, kata polis.

"Apabila mangsa menekan pautan URL tersebut, mangsa akan dibawa ke laman web palsu di mana mereka akan diperdaya untuk memberikan butiran perbankan mereka dan Kata Laluan Sekali Sahaja (OTP) untuk menerima bayaran."

Mangsa hanya akan sedar mereka ditipu apabila mereka mendapati transaksi tanpa kebenaran yang dibuat ke akaun bank mereka, tambah polis.

Polis menasihatkan orang ramai supaya mengenal pasti profil penjual di pasaran online dengan menyemak status pengesahan akaun, tarikh ia dibuka, ulasan dan penilaian pembeli lain.

Polis menambah bahawa orang ramai tidak sepatutnya menekan pautan URL yang diberikan dalam emel dan mesej yang tidak dikenali. Mereka juga harus mengesahkan kesahihan maklumat dengan platform e-dagang secara langsung jika rasa ragu.

Polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan butiran peribadi, butiran perbankan atau Kata Laluan Sekali Sahaja (OTP) kepada sesiapa pun serta melaporkan sebarang transaksi penipuan kepada bank mereka dengan segera.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan