Skip to main content

Singapura

Polis akan pasang lebih banyak CCTV, tingkatkan rondaan di Upper Thomson susuli kes pecah masuk

Polis diminta memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di Upper Thomson menyusuli beberapa kejadian pecah masuk di kawasan itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Polis akan pasang lebih banyak CCTV, tingkatkan rondaan di Upper Thomson susuli kes pecah masuk
Langkah-langkah tambahan diambil selepas dua kejadian pecah masuk dilaporkan di Taman Permata dan Marigold Drive. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Polis diminta memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di Upper Thomson menyusuli beberapa kejadian pecah masuk di kawasan itu.

Mereka juga diminta untuk meningkatkan rondaan serta pengawasan dron, termasuk di kawasan hutan di belakang rumah, kata Anggota Parlimen (AP) bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh, Chee Hong Tat, pada Selasa (24 Feb).

Langkah-langkah tersebut menyusuli dua kes pecah masuk yang dilaporkan pada minggu lalu.

Dalam kejadian pertama, polis menerima panggilan meminta bantuan pada waktu malam pada 17 Februari di sebuah estet perumahan di sepanjang Taman Permata.

Siasatan awal mendapati seorang individu dipercayai menceroboh masuk ke dalam sebuah kediaman dan meninggalkan tempat kejadian sebelum polis tiba.

Kejadian kedua melibatkan sebuah rumah di sepanjang Marigold Drive.

Polis dikerahkan ke lokasi tersebut pada 21 Februari malam.

“Setibanya di lokasi, para pegawai mendapati seorang individu dipercayai memasuki sebuah premis kediaman tanpa kebenaran dan beredar sebelum ketibaan polis,” menurut kenyataan polis menjawab pertanyaan Mediacorp.

Siasatan bagi kedua-dua kes sedang dijalankan dan usaha menjejak suspek masih diteruskan.

Encik Chee berkata para penduduk turut membentuk kumpulan-kumpulan rondaan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan, serta saling menjaga antara satu sama lain.

“Saya berterima kasih kepada para pegawai polis kerana meningkatkan kehadiran mereka di kawasan kejiranan tersebut,” kata beliau.

INDIVIDU MENCURIGAKAN DI SOO CHOW VIEW

Pada Selasa, polis sekali lagi dipanggil ke Upper Thomson selepas seorang individu mencurigakan dilihat di kawasan Soo Chow View sekitar pukul 2.00 petang.

Individu tersebut beredar sebelum polis tiba dan pihak berkuasa kini sedang berusaha untuk mengenal pasti identitinya.

Kehadiran polis yang ramai diperhatikan di estet berkenaan semasa wartawan berkunjung ke kawasan itu pada Selasa.

Beberapa pegawai juga dilihat keluar masuk ke dalam sebuah unit di sepanjang Soo Chow View selama beberapa jam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian-kejadian tersebut diminta untuk menghubungi talian polis di 1800-255-0000 atau menyalurkan maklumat secara online.

Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan sepenuhnya, menurut polis, sambil menasihatkan para penduduk supaya terus berwaspada dan segera melaporkan sebarang individu atau kegiatan yang mencurigakan.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian “999” sekiranya mereka melihat sebarang individu yang berkelakuan mencurigakan di kawasan kejiranan mereka.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita