Polis akan diberi kuasa arah bank, syarikat telko kongsi maklumat, tutup akaun penipuan
Pasukan Polis Singapura (SPF) akan diberi kuasa untuk mengarahkan penyedia perkhidmatan seperti bank dan syarikat telekomunikasi supaya mendedahkan maklumat mengenai kegiatan berkaitan penipuan serta menutup akaun yang mungkin digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut.
- Singapore Parliament passed a new law giving the police powers to order banks and telecommunications companies to disclose information and shut accounts linked to scams.
- The law also introduces higher fines for online service providers that fail to comply with the orders, and allows appeals for accounts that were wrongly shut.
- Members of Parliament raised concerns about the impact on innocent individuals and stressed the need for checks and balances, as well as a fair and swift appeals process.
- Public Expert Officers will be appointed to assist in cyber crime investigations, with training and oversight equivalent to that of police officers, to strengthen enforcement of the law.
- Parlimen Singapura meluluskan undang-undang baharu yang memberi kuasa kepada polis untuk mengarahkan bank dan syarikat telekomunikasi mendedahkan maklumat serta menutup akaun berkaitan penipuan.
- Undang-undang ini juga memperkenalkan denda lebih tinggi kepada penyedia perkhidmatan online yang gagal mematuhi arahan, dan membolehkan rayuan bagi akaun yang ditutup secara salah.
- Anggota Parlimen menyuarakan keprihatinan tentang kesan kepada individu tidak bersalah dan menekankan perlunya mekanisme semak dan imbang serta proses rayuan yang adil dan pantas.
- Pegawai Pakar Awam akan dilantik untuk membantu siasatan jenayah siber, dengan latihan dan pengawasan setara pegawai polis, bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang ini.
Kuasa itu diusulkan di bawah Rang Undang-Undang Penipuan (Langkah Tindakan Balas) dan Perkara-Perkara Lain, yang dibahaskan di Parlimen selama dua hari sebelum diluluskan pada Rabu (9 Sep).
Undang-undang baharu itu turut meminda Akta Bahaya Jenayah Online untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi kod amalan dan arahan pelaksanaan.
Bagi setiap kes ketidakpatuhan, penyedia perkhidmatan online yang ditetapkan boleh dikenakan dendakewangan sehingga S$10 juta, berbanding denda maksimum S$1 juta sebelum ini. Penyedia perkhidmatan online juga boleh diarahkan supaya membetulkan ketidakpatuhan menerusi notis pembetulan atau perintah pematuhan.
Semasa perbahasan, para Anggota Parlimen (AP) menyokong rang undang-undang tersebut, namun turut membangkitkan beberapa keprihatinan.
Antara keprihatinan yang dibangkitkan ialah kesan terhadap mereka yang diperdaya penipu agar tidak dikenakan tindakan terlalu berat, serta perlunya mekanisme semak dan imbang yang mencukupi bagi mencegah penyalahgunaan undang-undang tersebut.
UNDANG-UNDANG BAHARU
Penipu dan keldai akaun sering menggunakan akaun daripada pelbagai penyedia perkhidmatan, sekali gus meninggalkan jejak yang boleh membantu pihak berkuasa mengesan dan menyekat kegiatan mereka.
Penyedia perkhidmatan itu termasuk institusi kewangan seperti bank dan penyedia khidmat token pembayaran digital, syarikat telekomunikasi serta platform yang menawarkan akaun dan khidmat sokongan online.
Untuk membolehkan pertukaran maklumat berkaitan penipuan antara polis dengan penyedia perkhidmatan, rang undang-undang itu memberi polis kuasa untuk mengeluarkan dua jenis perintah - perintah pendedahan dan perintah penutupan akaun.
Perintah pendedahan mewajibkan penyedia perkhidmatan memberikan maklumat mengenai akaun tertentu dan kegiatan berkaitan penipuan, termasuk maklumat yang diperlukan untuk mencegah atau menyekat kesalahan tersebut.
Di bawah perintah penutupan akaun pula, penyedia perkhidmatan perlu menutup akaun tertentu atau mana-mana akaun yang memenuhi syarat yang ditetapkan polis.
Akaun terbabit boleh ditutup sehingga 30 hari. Tempoh penutupan itu boleh dilanjutkan sekali sahaja sehingga 30 hari lagi.
Pemilik akaun yang ditutup boleh membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Polis - atau pegawai yang dilantik berpangkat superintenden ke atas, atau pangkat setara. Perintah itu akan terus berkuat kuasa sementara rayuan dipertimbangkan.
INDIVIDU TIDAK BERSALAH
Beberapa AP membangkitkan keprihatinan mengenai kesan terhadap individu dan perniagaan yang tidak bersalah sekiranya akaun mereka diberi perintah baharu secara salah.
AP He Ting Ru (WP-Sengkang) berkata perintah sedemikian terhadap pihak yang tidak bersalah atau individu yang tanpa disedari menjadi keldai akaun boleh menyebabkan "sekurang-kurangnya sedikit kesulitan dan dalam keadaan paling buruk, menjejas kehidupan seharian".
"Individu yang akaunnya dibekukan mungkin tidak dapat menerima gaji atau membayar keperluan harian dan bil perubatan sekiranya satu-satunya akaun bank atau e-dompet mereka dibekukan sepenuhnya," kata Cik He.
Bagi perniagaan, khususnya syarikat kecil, pembekuan akaun boleh menyebabkan operasi terhenti dan gaji pekerja tidak dapat dibayar, tambah Cik He.
AP Diana Pang (PAP-Marine Parade-Braddell Heights) pula menekankan bahawa "kuasa lebih besar" perlu disertai "langkah perlindungan yang praktikal", sambil merujuk kepada kesukaran yang dihadapi penduduknya apabila mereka tidak dapat mengakses atau membuka akaun bank.
Menjawab keprihatinan tersebut, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming berkata "tiada siapa mahu secara tidak sengaja menjejas atau menyusahkan" mereka yang mungkin tidak terlibat dalam kegiatan penipuan.
Namun, tindakan pantas dan tegas penting untuk menyekat kegiatan penipuan, tambah beliau.
"Perintah ini membolehkan kami mengehadkan sumber yang membantu kegiatan penipuan dan menutupnya sebelum ia boleh digunakan. Matlamat akhirnya adalah untuk melindungi rakyat kita," kata Encik Goh.
"Tugas kami adalah untuk campur tangan lebih awal, sambil memastikan terdapat perlindungan yang mencukupi supaya akaun milik mereka yang tidak bersalah tidak terjejas."
AP Jackson Lam (PAP-Nee Soon) berkata perlu ada proses semakan pantas bagi kes apabila sesuatu akaun ditutup secara salah.
Walaupun rang undang-undang itu menyediakan mekanisme rayuan, perlu ada "saluran yang jelas" supaya mereka yang terjejas dapat mengemukakan bukti dengan segera dan akaun mereka dapat disemak.
"Prinsipnya mudah: Bertindak pantas terhadap penipu, tetapi betulkan kesilapan dengan sama pantas apabila mereka yang tidak bersalah terjejas," tambahnya.
AP Gabriel Lam (PAP-Sembawang) berkata sebaik sahaja sesuatu akaun tidak lagi menimbulkan risiko, akses kepada akaun yang ditutup secara salah perlu dipulihkan dalam tempoh beberapa jam, bukan beberapa hari.
Encik Goh berkata meskipun pendekatan "pantas dan tegas" diperlukan untuk menyekat rangkaian penipuan, pihak berkuasa sedar bahawa sesetengah individu benar-benar memerlukan akaun tersebut untuk mencari nafkah atau menampung perbelanjaan harian.
Menurut beliau, rayuan perlu dinilai secara adil dan secepat mungkin. Butiran lanjut mengenai mekanisme rayuan dan tempoh pemprosesannya akan diumumkan kelak.
"Perkara ini perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana kami pernah melihat kes penipu mengajar mangsa apa yang perlu dikatakan kepada kakitangan bank bagi mengelakkan dikesan apabila mereka memindahkan wang kepada penipu," kata Encik Goh.
"Kita juga harus menjangkakan penipu akan mengajar keldai akaun cara membuat rayuan yang berjaya supaya mereka boleh mendapatkan semula akses kepada akaun."
PEGAWAI PAKAR AWAM
AP Elysa Chen (PAP-Bishan-Toa Payoh) dan Encik Jackson Lam turut membangkitkan persoalan mengenai pelantikan Pegawai Pakar Awam (CSO), yang akan diberi kuasa menjalankan tugas siasatan menerusi pindaan kepada Akta Pasukan Polis.
Kuasa tersebut, yang serupa dengan kuasa yang diberikan kepada pegawai ehwal komersial, membolehkan pegawai awam itu menjalankan penggeledahan, membuat tangkapan, melakukan rampasan dan meminta dokumen.
Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), polis juga boleh mengambil dan menempatkan pegawai tersebut dalam bidang lain pada masa depan sekiranya diperlukan bagi operasi.
Encik Jackson Lam berkata langkah itu "masuk akal" memandangkan jenayah siber semakin khusus, namun beliau mempersoalkan bagaimana pegawai tersebut akan dipilih, dilatih dan diselia.
"Saya juga menyarankan pemerintah menimbangkan semakan berkanun terhadap rang undang-undang ini, mungkin selepas tiga hingga lima tahun, untuk menilai sama ada kuasa tersebut masih seimbang dan berkesan sedang taktik penipuan terus berubah," kata Encik Lam.
Cik Chen pula mempersoalkan bagaimana pegawai tersebut akan dikenakan tindakan disiplin dan dipertanggungjawabkan memandangkan mereka tidak tertakluk kepada peruntukan disiplin yang dikenakan terhadap pegawai polis.
AP Abdul Muhaimin Abdul Malik (WP-Sengkang) turut meminta penjelasan sama ada pegawai tersebut akan berkhidmat di bawah Jabatan Ehwal Komersial polis atau sebuah unit baharu, serta dari mana tenaga kerja akan diperoleh.
"Jika kita meminta pegawai sedia ada memikul tugas ini, kita juga perlu jelas tentang tugas lain yang mungkin terpaksa dikurangkan. Kita perlu memastikan keupayaan penguatkuasaan kita tidak dibebankan secara berlebihan, terutama apabila semakin banyak tugas diberikan kepada mereka," katanya.
Encik Goh berkata pegawai berkenaan boleh diambil terus dari pasaran kerja atau dipinjamkan daripada agensi awam lain seperti Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).
Mereka akan ditempatkan bagi melengkapi sumber polis dalam unit sedia ada, bermula dengan Markas Siber SPF, dan tertakluk kepada struktur perintah polis yang sedia ada.
"Seperti pegawai ehwal komersial sekarang, CSO akan menjalani latihan operasi dan siasatan yang diperlukan serta dipilih dengan teliti berdasarkan kesesuaian mereka menjalankan kerja siasatan dan kepakaran teknikal yang berkaitan," kata Encik Goh.
"Mereka tetap tertakluk kepada pengawasan, kebertanggungjawaban dan struktur perintah yang sama seperti pegawai penyiasat lain."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.