Polis: 'Acara' Chee Soon Juan di Bukit Batok perlukan permit
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu (27 Feb), polis menyatakan bahawa ia dimaklumkan kepada "satu acara berasaskan sesuatu perjuangan yang akan dianjurkan oleh Dr Chee Soon Juan" di Blok 192 Bukit Batok West Avenue 6 pada pukul 2.00 petang.
(Gambar: Facebook/Chee Soon Juan)
SINGAPURA: Dalam satu kenyataan media pada Sabtu (27 Feb), polis menyatakan bahawa ia dimaklumkan kepada "satu acara berasaskan sesuatu perjuangan yang akan dianjurkan oleh Dr Chee Soon Juan" di Blok 192 Bukit Batok West Avenue 6 pada pukul 2.00 petang.
"Acara anjuran Dr Chee adalah berasaskan perjuangan, justeru ia memerlukan permit," menurut polis.
Pada Khamis (25 Feb), Dr Chee menulis di Facebook bahawa beliau sedang membantu sekumpulan penduduk Bukit Batok, yang ingin melihat laluan pejalan kaki dibina di kawasan kejiranan mereka, mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Majlis Bandaran Jurong-Clementi (JRTC).
Dr Chee menulis satu lagi catatan Facebook pada Jumaat (26 Feb) yang menyatakan bahawa beliau berada di Blok 299 Bukit Batok Street 22 pada Khamis malam untuk mengumpul lebih banyak tandatangan untuk diserahkan kepada JRTC supaya dibina laluan pejalan kaki dari Blok 194 ke 187.
Ini supaya para penduduk tidak perlu berjalan "di atas jalan raya berhampiran kenderaan yang lalu lalang", tulis Dr Chee.
"Responsnya adalah memuaskan dan menggalakkan kerana ramai yang menggunakan laluan itu dan bersetuju bahawa ia tidak selamat bagi para penduduk untuk berjalan di atas jalan raya," katanya.
Dr Chee menambah bahawa beliau akan berada di Blok 192 Bukit Batok West Ave 6 pada Sabtu (27 Feb) dari pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang.
"Datanglah singgah bersama para penduduk yang lain bagi menyokong inisiatif ini dengan menandatangani petisyen ini. Kami akan menyerahkannya kepada Majlis Bandaran selepas sesi itu," kata Dr Chee.
TEGAS TERHADAP PERHIMPUNAN BERAMAI-RAMAI KERANA COVID-19
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, polis memberi amaran bahawa penganjuran perhimpunan awam tanpa sebarang permit adalah dilarang.
"Menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tanpa permit polis adalah dilarang dan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Akta ((Kawalan)) Ketenteraman Awam," menurut polis.
"Disebabkan oleh situasi COVID-19 pada masa ini, pendekatan lebih tegas terhadap perhimpunan awam yang terancang sedang diambil."
Polis menambah: "Meskipun dalam Fasa 3 pembukaan semula kita, Singapura terus mengambil pendekatan berhati-hati, berwaspada dan selamat terhadap penyambungan semula acara dan kegiatan masyarakat.
"Memandangkan COVID-19 terus membawa risiko kesihatan yang ketara dalam masyarakat, kami menggesa rakyat Singapura supaya mematuhi langkah pengurusan selamat dan jangan menganjurkan acara yang boleh menyebabkan orang ramai berkumpul, yang boleh meningkatkan risiko kepada masyarakat."
Dalam satu catatan Facebook pada 25 Feb, JRTC menyatakan bahawa mereka sudah menerima surat yang ditandatangani oleh para penduduk yang menyatakan bahawa "beberapa individu berada di sekitar blok-blok anda untuk meminta tandatangan bagi petisyen bagi membina laluan pejalan kaki".
Dalam surat kepada para penduduk yang tertera dalam catatan Facebook, pengurus besar JRTC Jeffrey Wong berkata ia akan "mengkaji kemungkinan membina laluan pejalan kaki".
"Kami akan memberi kemas kini dalam masa terdekat," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.