Skip to main content

Singapura

Poliklinik Tengah dibuka rasmi, perkenal beberapa khidmat baharu

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 28 Feb 2026 08:04PM Dikemas Kini : 20 Mar 2026 10:40PM

SINGAPURA: Para penduduk di Tengah kini mempunyai kemudahan kesihatan yang lebih menyeluruh dengan pembukaan rasmi Poliklinik Tengah pada Sabtu (28 Feb).

Di samping menawarkan rawatan bagi penyakit akut dan kronik, poliklinik itu turut memperkenalkan beberapa perkhidmatan baharu seperti kesejahteraan untuk penduduk berusia 40 tahun ke atas, serta khidmat sokongan penyusuan ibu yang dipertingkatkan.

Kemudahan setinggi tiga tingkat dan seluas 6,000 meter persegi di pusat kejiranan Parc Point itu dikendalikan oleh Poliklinik Universiti Nasional (NUP).

Ia dijangka menyediakan khidmat untuk lebih 12,000 isi rumah di bandar baharu tersebut.

PERKUKUH USAHA PENCEGAHAN DALAM PENJAGAAN KESIHATAN SG

Pembukaan poliklinik itu turut menandakan satu lagi langkah untuk memperkukuh usaha pencegahan dalam jagaan kesihatan.

Selain merawat penyakit akut yang lazim berlaku, poliklinik ini turut menyediakan pengurusan jangka panjang bagi penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Dalam ucapannya, Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Tenaga Manusia Dr Koh Poh Koon berkata: "Di bawah strategi nasional SG Lebih Sihat, poliklinik memainkan peranan penting dalam menyediakan penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit dan khidmat asas, selain membina hubungan jangka panjang dengan pesakit serta menyokong penduduk mengamalkan gaya hidup lebih sihat.Dengan penambahan Poliklinik Tengah ini, NUP dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk yang tinggal di bahagian barat Singapura."

Turut hadir di majlis pembukaan rasmi ialah dua Ahli Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang iaitu Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow serta Dr Choo Pei Ling.

Lebih 100 kakitangan termasuk doktor keluarga, jururawat dan karyawan kesihatan lain akan mengendalikan operasi di poliklinik itu.

Ia juga poliklinik NUP pertama yang mempunyai farmasi di pelbagai aras bangunan.

Ubat-ubatan dibungkus di tingkat tiga sebelum dihantar ke kaunter pengambilan ubat di bawah menerusi sistem penghantar automatik, sekali gus menjimatkan ruang dan meningkatkan kecekapan.

Related article image
(Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

KHIDMAT PERUNDING LAKTASI DITAWARKAN

Dengan lebih ramai keluarga muda menetap di Tengah, tumpuan turut diberikan kepada sokongan kesihatan awal bagi ibu yang baru bersalin.

Antara khidmat baharu termasuk perunding laktasi, satu bentuk sokongan khusus yang sebelum ini lazimnya memerlukan rujukan ke hospital.

Jururawat Staf Kanan Poliklinik Tengah, Nurhanesah A Rahman berkata, "Memandangkan kebanyakan ibu yang memerlukan bantuan ini adalah mereka yang baru bersalin, untuk patah balik ke hospital amat menyusahkan, terutamanya dengan bayi. Jadi, bila kita ada khidmat ini di poliklinik, ia lebih mudah diakses. Mereka boleh mendapatkan bantuan dengan lebih cepat dan mudah." 

Related article image
Jururawat Staf Kanan Poliklinik Tengah, Nurhanesah A Rahman merupakan perunding laktasi bertauliah yang pertama di bawah Poliklinik Universiti Nasional (NUP). (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

Antara cabaran utama yang sering dihadapi ibu ialah masalah lekapan bayi yang tidak betul, kongsi Cik Nurhanesah kepada Berita Mediacorp.

"Jika lekapan tidak diperbetulkan awal, ibu boleh mengalami kesakitan berterusan dan bengkak susu, malah boleh menjejaskan penghasilan susu dalam jangka panjang," jelas beliau yang merupakan perunding laktasi bertauliah yang pertama di bawah NUP.

Khidmatnya ini membantu ibu yang baru bersalin seperti Cik Nurulhana Mohamed Ishak, 35 tahun.

Jurang usia lebih sedekad antara anak kedua dan bongsunya menjadikan pengalaman menyusukan anaknya kali ini lebih mencabar.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata: "Disebabkan jurang usia yang bezanya banyak (10 tahun), saya kurang yakin untuk memulakan penyusuan lagi. Jadi saya rasa saya perlukan bantuan, lalu saya menghubungi poliklinik untuk membantu saya."

Beliau mendapatkan bantuan kira-kira 25 hari selepas melahirkan anak bongsunya, Caydrian Izan Benni, apabila mula mengalami kesakitan ketika menyusu secara langsung.

Related article image
Cik Nurulhana Mohamed Ishak, 35 tahun, bersama anak bongsunya, Caydrian Izan Benni. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Pada awalnya, beliau dirujuk kepada perunding laktasi di Hospital Universiti Nasional, namun membatalkan janji temu tersebut kerana lokasinya terlalu jauh dari kediamannya di Bukit Panjang.

Selepas dua sesi di Poliklinik Bukit Panjang, Cik Nurulhana dimaklumkan bahawa bayinya tidak melekap dengan betul.

Bagi menyokong ibu sepertinya, jururawat terlatih ditempatkan di poliklinik tersebut untuk memberikan sesi perundingan laktasi.

Mereka membimbing ibu tentang posisi dan teknik penyusuan yang betul serta cara meningkatkan penghasilan susu.

BERI KEYAKINAN KEPADA IBU KEMBALI BEKERJA

Sokongan awal ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesakitan, malah memberi keyakinan kepada ibu yang perlu kembali bekerja, seperti Cik Noorun Nuha Mohammed Aminullah, 31 tahun.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, "Perunding laktasi sudah mengajar teknik lekapan yang betul. Jadi, bila saya pergi kerja saya tak rasa takut tentang bengkak susu atau isu mengepam. Sebelum ke kerja, saya sudah dapat pastikan bayi dapat melekap dengan betul. Jadi, ia membolehkan saya untuk teruskan penyusuan selama mana saya boleh."
Related article image
Cik Noorun Nuha Mohammed Aminullah (kiri) bersama anaknya, Nur Mia Nuha Muhammad Nuriman yang berusia 4 bulan. Beliau merujuk kepada Jururawat Staf Kanan Poliklinik Tengah, Nurhanesah A Rahman (kanan) untuk mendapatkan nasihat mengenai penyusuan. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Beliau mengalami bengkak susu hanya dua hari selepas dibenarkan pulang dari hospital dan mendapati lampin bayinya kering walaupun kelihatan seperti menyusu.

Selepas mengamalkan teknik lekapan yang diperbetulkan selama beberapa hari, pendidik awal kanak-kanak itu melihat perubahan ketara dan lebih yakin untuk meneruskan penyusuan meskipun perlu kembali bekerja.

Sejak projek perintis dimulakan di Poliklinik Bukit Panjang pada Oktober 2025, lebih 80 ibu telah mendapatkan khidmat perunding laktasi di bawah rangkaian NUP.

Setiap sesi berlangsung antara 40 minit hingga sejam, bergantung kepada tahap kerumitan kes dan disertakan sesi susulan jika perlu.

Setiap sesi bersama perunding laktasi dikenakan bayaran $58.80 bagi warga Singapura, $68 bagi penduduk tetap dan $80 bagi bukan penduduk.

Buat masa ini, terdapat lima perunding laktasi bertauliah di bawah rangkaian NUP, dengan sasaran menempatkan seorang perunding di kesemua lapan poliklinik menjelang akhir tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita