Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Poliklinik, PHPC kembali ke waktu operasi biasa sedang gelombang Omicron semakin reda

Anggaran Waktu Membaca:
Poliklinik, PHPC kembali ke waktu operasi biasa sedang gelombang Omicron semakin reda

Poliklinik Pasir Ris yang ada sekarang di Kelab Masyarakat Pasir Ris mengendalikan sekitar 850 pesakit setiap hari dalam suku ketiga 2018.

SINGAPURA: Poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) akan kembali ke waktu operasi biasa mulai hari ini (11 Mac) sedang kes jangkitan varian Omicron menunjukkan tanda semakin reda.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Khamis (10 Mac).

MOH sebelum ini sudah melanjutkan waktu operasi untuk beberapa PHPC dan poliklinik dari 25 Februari hingga 10 Mac untuk membantu meringankan beban jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik dan poliklinik.

Kembalinya waktu operasi kepada waktu biasa akan memberikan kakitangan jagaan kesihatan rehat yang amat diperlukan daripada waktu operasi yang panjang, menurut MOH.

Lebih 655 PHPC, yang mana 15 daripadanya adalah klinik 24 jam, masih terus beroperasi pada waktu-waktu berbeza setiap hari termasuk hujung minggu.

MOH juga menasihatkan masyarakat awam untuk "menelefon klinik untuk mengesahkan ruang bagi janji temu dan waktu khidmat, terutama sekali bagi ujian dan vaksinasi COVID-19 dan membuat janji temu yang diperlukan sebelum pergi ke klinik."

Individu yang sudah disahkan positif melalui ujian kendiri ART dan ada gejala ringan atau tidak bergejala, dinasihatkan supaya mengasingkan diri sekurang-kurangnya 72 jam.

Jika perlu, individu boleh membuat janji temu di mana-mana Pusat Ujian Gabungan(CTC) atau Pusat Ujian Pantas (QTC) untuk membuat ujian ART yang diselia. Jika mereka kurang sihat, mereka boleh megunjungi PHPC melalui pengangkutan peribadi untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Tambahan pula, sejak 26 Februari, individu yang disahkan positif melalui ujian ART di CTC pada hujung minggu boleh meminta untuk dirujuk kepada doktor menerusi khidmat tele perubatan.

Ujian dan konsultasi akan dibiayai oleh Pemerintah sehingga 20 Mac.

Untuk membuat temu janji bagi ujian Jangkitan Pernafasan Akut (ARI) dan teleperubatan pada hujung minggu di CTC, anda boleh mendaftar melalui laman go.gov.sg/ari-weekend-testing.

MOH juga mengumumkan bahawa pesakit yang tidak memerlukan bantuan kecemasan di pusat kecemasan boleh mengunjungi klinik lain untuk mendapatkan rawatan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan