Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Poliklinik Pasir Ris berpindah ke Pasir Ris Mall; tawar khidmat pergigian dan fisioterapi

Para penduduk di Pasir Ris akan mempunyai akses yang lebih mudah untuk mendapatkan khidmat jagaan kesihatan dengan poliklinik di kawasan itu dipindahkan ke pusat beli-belah yang terletak di bahagian tengah kawasan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para penduduk di Pasir Ris akan mempunyai akses yang lebih mudah untuk mendapatkan khidmat jagaan kesihatan dengan poliklinik di kawasan itu dipindahkan ke pusat beli-belah yang terletak di bahagian tengah kawasan tersebut.

Poliklinik di Pasir Ris Mall adalah yang pertama seumpamanya dan akan menawarkan khidmat pergigian dan fisioterapi, antara lain.

Empat kali lebih besar daripada kemudahan sebelumnya, ia dijangka akan dapat menyediakan khidmat kepada sekitar 1,000 pesakit setiap hari.

Poliklinik yang dibangunkan semula itu juga akan menawarkan khidmat-khidmat pencegahan yang diperluaskan seperti pemeriksaan payudara, pangkal rahim dan penilaian kardiovaskular.

Poliklinik baharu itu juga dilengkapi dengan lobi layan diri 24 jam untuk pesakit mengambil ubat-ubatan mereka.

Ia juga berupaya menangani kes-kes kecemasan dengan ruang yang boleh diubah menjadi unit pandemik jika perlu.

Terdapat juga rancangan untuk memperkenalkan sokongan kesihatan mental pada pertengahan tahun 2025.

Menjelang 2030, jumlah poliklinik di Singapura akan bertambah daripada 26 kepada 32.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata terdapat rancangan untuk menumpukan perhatian kepada prasarana yang lebih baik, jagaan pencegahan dan menaik taraf klinik-klinik keluarga.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Poliklinik Pasir Ris yang dibangunkan semula.

"Poliklinik ini akan menjadi tapak latihan untuk doktor-doktor keluarga. Ia juga akan menempatkan Pusat Perubatan Keluarga Akademik, khusus untuk melatih para doktor di bawah program residensi Perubatan Keluarga.

Ia juga akan meningkatkan khidmat melalui penggunaan teknologi seperti khidmat pemantauan canggih, pendaftaran elektronik, janji temu dan pilihan untuk membuat bayaran," menurut Encik Ong.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan