Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Poliklinik ke-22 negara di Kallang; ada sistem automatik urus vaksin

Anggaran Waktu Membaca:
Poliklinik ke-22 negara di Kallang; ada sistem automatik urus vaksin

Gambar: National Healthcare Group Polyclinics (NHGP) 

Diterbitkan : 07 May 2022 05:50PM Dikemas Kini : 07 May 2022 08:32PM

SINGAPURA: Para penduduk Kallang kini mempunyai lebih banyak kemudahan khidmat jagaan kesihatan dengan adanya poliklinik baru.

Poliklinik Kallang dirasmikan hari ini (7 Mei) oleh Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Encik Ong berkata dengan pembukaan Poliklinik Kallang, Singapura berada di landasan untuk mencapai sasaran mempunyai 32 poliklinik menjelang tahun 2030.

Poliklinik baru tersebut lengkap dengan sistem automatik pengurusan vaksin, yang membolehkan para jururawat memilih pelbagai jenis vaksin yang diperlukan seseorang pesakit.

Sebaik sahaja pilihan dibuat, sistem itu akan mengeluarkan vaksin yang dipilih dalam masa kurang lima minit.

Sistem baru itu yang masih dalam tahap percubaan boleh menjimatkan masa jururawat sebanyak 45 minit dan diharap dapat membolehkan para jururawat memberi lebih tumpuan kepada jagaan pesakit serta mengurangkan risiko kesilapan manusia.

Para pesakit di poliklinik Kallang juga boleh menggunakan mesin ujian kendiri untuk lebih bertanggungjawab bagi kesejahteraan mereka sendiri.

Sejajar dengan usaha SG Lebih Sihat, kemudahan sedemikian boleh menyokong para pesakit untuk mengamalkan tabiat lebih baik.

Lebih banyak sokongan juga akan disediakan kepada mereka yang menghidap penyakit kronik.

Poliklinik Kallang sudah bekerjasama dengan Majlis Penasihat Pesakit bagi meneroka cara-cara untuk terus memperbaiki jagaan para pesakit.

Sumber : CNA/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan