Skip to main content

Singapura

Poliklinik baru Bidadari dibina di Upper Aljunied Road, disepadukan dengan rumah jagaan

Sebuah poliklinik baru di estet Bidadari yang akan dibina di Upper Aljunied Road, akan menjadi sebahagian daripada pembangunan yang disepadukan dengan sebuah rumah jagaan bagi "memenuhi keperluan penduduk di kawasan berdekatan".

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Oct 2020 02:51PM Dikemas Kini : 19 Oct 2020 09:07PM

SINGAPURA: Sebuah poliklinik baru di estet Bidadari yang akan dibina di Upper Aljunied Road, akan menjadi sebahagian daripada pembangunan yang disepadukan dengan sebuah rumah jagaan bagi "memenuhi keperluan penduduk di kawasan berdekatan".

Ini diumumkan oleh Menteri Negara Kanan Kementerian Kesihatan (MOH) Dr Janil Puthucheary pada Isnin (19 Okt).

Poliklinik itu, yang dijangka siap menjelang 2027, akan terletak berhampiran kelompok HDB Alkaff Lakeview, pada jarak sekitar 500 meter dari stesen MRT Woodleigh, kata MOH dalam satu kenyataan media.

Poliklinik baru itu yang diumumkan semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan tahun ini, akan menyediakan perkhidmatan jagaan utama. Ini termasuk rawatan perubatan bagi keadaan teruk, pengurusan penyakit kronik, khidmat kesihatan wanita dan kanak-kanak dan khidmat kesihatan bersekutu. Khidmat radiologi, makmal dan farmasi turut akan disediakan.

Rancangan untuk membina sebuah hospital baru di bahagian timur Singapura turut diumumkan semasa perbahasan pada Mac.

"Sebagai sebahagian daripada usaha perubahan khidmat jagaan utama, poliklinik-poliklinik memperkenalkan model jagaan berasaskan pasukan bagi mempertingkatkan pengurusan penyakit kronik," demikian menurut MOH pada Isnin.

"Poliklinik di Bidadari juga akan menawarkan jagaan berpasukan, yang mana para pesakit yang mempunyai keadaan kronik akan berada di bawah jagaan sebuah pasukan jagaan dikhususkan dan berbilang disiplin. Ini memudahkan penjagaan berterusan bagi para pesakit dan membolehkan hubungan kukuh antara pesakit dengan pasukan jagaan."

Rumah jagaan di Bidadari akan menyediakan khidmat terutama sekali kepada mereka yang tinggal di bahagian tengah Singapura, tambah MOH.

"Dengan khidmat rumah jagaan yang tersedia, keluarga-keluarga yang tinggal di daerah itu boleh mengunjungi orang-orang tersayang dengan mudah dan terus terlibat dalam penjagaan mereka di rumah jagaan tersebut.

"Selain itu, lokasi rumah jagaan dengan poliklinik itu akan memudahkan kerjasama antara kemudahan jagaan kesihatan menerusi perkongsian khidmat bagi menyokong golongan warga emas dan para pesakit poliklinik sedang keperluan jagaan mereka berubah."

Ia adalah penting bagi rakyat Singapura untuk terus mendapatkan kemudahan jagaan kesihatan yang dimampui serta penjagaan jangka panjang dalam masyarakat sedang penduduk di sini semakin menua dan keadaan penyakit kronik semakin meningkat, tambah MOH.

Kementerian itu menambah bahawa ia juga meluaskan rangkaian dan had tampungan poliklinik bagi mengukuhkan prasarana jagaan utama Singapura menerusi pembangunan poliklinik baru dan pembangunan semula poliklinik sedia ada.

"Di samping itu, kami akan terus memastikan bahawa golongan warga emas yang uzur dengan keperluan jagaan dan sokongan keluarga yang terhad akan mendapatkan kemudahan jagaan jangka panjang yang sesuai di merata negara," tambah MOH.

Poliklinik di Bidadari itu adalah satu daripada 12 poliklinik baru yang sedang dalam perancangan. Poliklinik-poliklinik lain akan dibangunkan di Bukit Panjang, Eunos, Kallang, Sembawang, Tampines North, Khatib, Serangoon, Kaki Bukit, Tengah, Yew Tee dan Bishan.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah poliklinik di Singapura sebanyak 32 menjelang 2030, menurut MOH.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita