Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pokok tumbang hempap wanita di Taman Marsiling diserang anai-anai dalam kes jarang berlaku

Anggaran Waktu Membaca:
Pokok tumbang hempap wanita di Taman Marsiling diserang anai-anai dalam kes jarang berlaku

Tapak di mana berlakunya pokok tumbang di Taman Marsiling. (Gambar fail: Hanidah Amin)

SINGAPURA: Pokok yang tumbang lalu menghempap seorang wanita yang berlari-lari anak di Taman Marsiling pada Februari tahun lalu, diserang sejenis anai-anai, yang jarang berlaku.

Siasatan Mahkamah Koroner ke atas kematian wanita berusia 38 tahun itu dibuka pada Khamis (13 Okt).

Cik Loke Xiao Li Dag, seorang penyelaras teknikal kanan di studio CNA itu meninggal dunia selepas dihempap pokok berkenaan pada pagi 18 Feb 2021.
Seorang pegawai penyiasat dan pengarah dari Lembaga Taman Negara (NParks) memberi keterangan.

Menurut pengarah kumpulan NParks divisyen landskap jalan raya, Encik Oh Cheow Sheng, pokok jenis Araucaria excelsa setinggi 20 meter yang tumbang itu ditemui penuh dengan sejenis anai-anai yang hidup di bawah tanah.

Anai-anai itu telah menyerang batang pokok tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan yang dapat dilihat dari luar, kata Encik Oh.

Encik Oh menerangkan dengan panjang lebar tahap pemeriksaan yang dilakukan NParks ke atas pokoknya. NParks menguruskan kira-kira enam juta pokok di Singapura, termasuk sekitar dua juta yang ditanam di taman, jalan raya, tanah milik pemerintah dan di kawasan bandar.

Tambah Encik Oh, rejim pemeriksaan pokok NParks adalah selaras dengan amalan pengurusan terbaik yang dilaksanakan nternational Society of Arboriculture (ISA), badan profesional terbesar di dunia bagi pengurusan pokok.

Beliau menjelaskan, terdapat hanya tiga kes pokok tumbang dalam tempoh 12 tahun lalu, akibat serangan anai-anai bawah tanah.

Tidak satu pun daripada kes tersebut melibatkan pokok Araucaria, iaitu pokok yang menghempap Cik Loke. Bahkan, pokok Araucaria tidak terdedah kepada serangan anai-anai, katanya.

POKOK DIDAPATI SIHAT KALI TERAKHIR DIPERIKSA

Kali terakhir pokok itu diperiksa pada 2020 selepas langkah serupa dijalankan pada 2018 dan 2016. Setiap pemeriksaan itu tidak menunjukkan sebarang kesan diserang anai-anai dari luar.

Malah, pokok itu dilaporkan dalam keadaan sihat, dalam keadaan sangat baik, tanpa reput atau lubang dan tiada tanda serangan anai-anai, kata Encik Oh.

Memandangkan tiada tanda luaran kesihatan yang buruk, NParks tidak menjalankan pemeriksaan lanjutan, katanya.

Selepas kejadian itu, pakar poko memeriksa pokok Araucaria lain di Taman Marsiling dan bahagian akarnya disembur racun anai-anai sebagai langkah berjaga-jaga.
Sumber : CNA/ZM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan