Skip to main content

Singapura

Pokok tumbang di Sembawang Park terakhir kali diperiksa Mei 2017, didapati sihat

Dua pokok yang tumbang di Sembawang Park pada Khamis (20 Dis) terakhir kali diperiksa pada Mei tahun lalu dan didapati dalam keadaan sihat, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam kenyataan medianya hari ini (21 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Dec 2018 05:43PM Dikemas Kini : 21 Dec 2018 11:07PM

SINGAPURA: Dua pokok yang tumbang di Sembawang Park pada Khamis (20 Dis) terakhir kali diperiksa pada Mei tahun lalu dan didapati dalam keadaan sihat, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam kenyataan medianya hari ini (21 Dis).

14 orang dikejarkan ke hospital selepas sebatang pokok tumbang di atas sebuah tempat teduh di mana para mangsa sedang berteduh semasa hujan lebat pada malam semalam (20 Dis).

Hari ini (21 Dis), NParks menyatakan bahawa ia masih menjalankan siasatan, sambil menambah bahawa pokok-pokok itu mungkin tumbang akibat ribut petir yang berlaku ketika itu.

"Dua pokok yang tercabut itu tumbang ke arah yang sama dan saiznya besar. Jadi kemungkinan ia tumbang akibat angin kencang."

Pokok-pokok diperiksa dan dipangkas setiap 12 hingga 24 bulan, kadangkala lebih kerap, mengikut garis panduan penjagaan pokok Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA).

"Kekerapan pemeriksaan dan pemangkasan bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, spesies, usia dan keadaan pokok-pokok," menurut NParks.

"(Pemantauannya) lebih ketat daripada saranan-saranan ISA."

Kawasan di mana terdapat lalu lintas lebih tinggi, seperti di jalan-jalan utama, ekspreswe dan taman-taman tertentu, akan lebih kerap diperiksa.

"Para pegawai NParks juga sering menjalankan pemeriksaan apabila mereka melakukan rondaan rutin di jalan-jalan raya dan taman-taman," menurut NParks.

"Pemeriksaan lebih giat dijalankan apabila keadaan cuaca buruk bagi mengenal pasti pokok-pokok yang perlu dicantas atau diperiksa lebih lanjut."

Kawasan-kawasan yang terjejas dengan hujan lebat juga akan diperiksa supaya pokok-pokok yang rosak dapat dikesan dan langkah-langkah sewajarnya dapat diambil. Pokok-pokok yang rosak teruk mungkin akan digali, meskipun ini jarang sekali dilakukan.

Kawasan yang terjejas dengan pokok-pokok tumbang akan dikepung bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan. Bahagian taman yang lain pula akan terus dibuka kepada para pengunjung.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita