Skip to main content

Singapura

Pokok tidak diluluskan akan ditangani berdasarkan 'kes demi kes'

Anggaran Waktu Membaca:
Pokok tidak diluluskan akan ditangani berdasarkan 'kes demi kes'

(Gambar: CNA/Vanessa Lim)

Diterbitkan : 19 Jul 2024 10:14AM

SINGAPURA: Di satu sudut sebuah blok HDB yang terletak di Toa Payoh, terdapat taman dengan sejumlah pasu yang disusun rapi.

Dengan saiz sekurang-kurangnya 100 kaki persegi, taman tersebut mempunyai pelbagai jenis herba, bunga dan sayur-sayuran yang tumbuh dari pasu dan tapak berkenaan.

Tumbuh-tumbuhan tersebut adalah hasil kerja keras salah seorang penduduk.

Cik Ong meluangkan masa hampir sedekad untuk menjadikan kawasan berumput di luar unit Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tingkat paling bawah sebagai sebuah ruang untuk jiran tetangga belajar berkebun dan cara-cara untuk menuai hasil tanaman yang boleh dimakan.

Cik Ong yang tidak mahu mendedahkan nama penuhnya dan meminta agar alamatnya dirahsiakan, menambah bahawa minatnya dalam berkebun berputik selepas beliau bersara 10 tahun lalu.


Projeknya bagaimanapun bukanlah tanpa sebarang cabaran. Cik Ong berkongsi betapa beliau berasa
tertekan pada tahun-tahun awal kerana pihak berkuasa kerap memeriksa pokok-pokoknya dan mengeluarkan notis supaya ia dipindahkan.


"Mereka akan datang setiap bulan untuk periksa dan saya akan memindahkannya. Namun, apabila pemerintah mula mengagihkan benih kepada para penduduk, pihak berkuasa memberi kelonggaran berdasarkan budi bicara."

"Mereka hanya memberitahu saya agar memastikan kawasan tersebut bersih dan semoga air dalam pasu atau pinggan pasu tidak bertakung."

BEBERAPA KELONGGARAN

Meskipun penduduk HDB tidak dibenarkan menanam pokok di tempat-tempat awam, terdapat budi bicara, menurut para Anggota Parlimen (AP) kepada Mediacorp. Isu tersebut mendapat perhatian ramai apabila Mediacorp melaporkan pada awal bulan ini bahawa Majlis Bandaran Marine Parade telah menebang beberapa batang pokok yang ditanam oleh seorang penduduk di estet Aljunied.

AP Mountbatten Lim Biow Chuan, yang kawasannya juga diuruskan oleh Majlis Bandaran Marine Parade, berkata majlis bandaran itu menggunakan budi bicara bagi pokok-pokok lebih kecil selagi ia tidak menjejas penduduk, persekitaran atau merosakkan infrastruktur.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara sedemikian tidak digalakkan kerana ia boleh menimbulkan risiko keselamatan dan mengalihkan sumber daripada projek-projek yang diluluskan dan aktiviti-aktiviti penyenggaraan yang telah dirancang.

PATUTKAH TANAMAN DIBIARKAN ATAU DIPINDAHKAN?

Bagi AP Yio Chu Kang yang juga Naib Pengerusi Majlis Bandaran Ang Mo Kio, Yip Hon Weng, majlis bandarannya membuat keputusan "berdasarkan dari satu kes ke satu kes yang lain" bagi menentukan sama ada untuk memindahkan atau mengekalkan pokok yang tidak diluluskan.

Ia bergantung kepada faktor-faktor seperti risiko pembiakan nyamuk, jenis pokok, lokasi dan kesan terhadap infrastruktur berhampiran.

Mengenai sama ada pokok akan dipindahkan jika penduduk membuat aduan, beliau berkata, meskipun majlis bandaran akan mempertimbangkan aduan yang diterima, keprihatinan utamanya adalah keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Encik Yip turut mendedahkan bahawa berlaku beberapa kejadian di mana majlis bandaran mengekalkan tanaman dan menyertakannya dalam jadual penyenggaraannya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita